PETALING JAYA: Hilang keyakinan, beraksi di bawah tekanan serta kerap melakukan kesilapan mudah menjadi punca kegagalan skuad sepak takraw negara membawa pulang kejuaraan acara regu berpasukan Piala Raja Thai 2025 selepas tewas 2-0 kepada Thailand, kelmarin.
Percaturan ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menurunkan regu satu dan dua negara yang masing-masing diketuai Mohd. Haziq Hairul Nizam dan Mohd. Syahir Mohd. Rosdi bertujuan mengimbangi kekuatan lawan dengan harapan untuk memenangi salah satu daripadanya.
“Pemain kita bermula dengan agak konsisten daripada segi serangan, pertahanan dan kawalan namun apabila memasuki fasa pertengahan dan hujung saingan, itu memberikan kekurangan kepada pasukan kita untuk menyerap tekanan dan menyudahkan serangan dengan cemerlang.
“Secara peribadi, kedua-dua regu ini bermain dengan agak baik, mereka mampu menyerap tekanan di awal hingga pertengahan permainan namun apabila Thailand mula menyamakan kedudukan, pemain kita tertekan, hilang keyakinan untuk terus memberi tekanan kepada lawan.
“Ia diikuti kesilapan mudah yang tidak sepatutnya pemain kita lakukan lebih-lebih lagi pada penghujung saingan setiap set,”katanya.
Ahmad Jais turut tidak menafikan pemain negara cepat hilang rentak dan momentum dalam aksi final tersebut walaupun peluang dihidangkan kepada Malaysia mampu ditukar kepada kejuaraan.
“Namun jurang pemisah pasukan kita dengan Thailand ternyata masih lagi menyebabkan kesilapan mudah kita lakukan secara berturut-turut daripada segi serangan, pertahanan. Itu beri kelebihan kepada lawan untuk hukum pasukan negara walaupun kita sudah mendahului saingan,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia sudah 34 tahun tidak memenangi gelaran berpasukan dalam mana-mana kejohanan sejak kali terakhir merangkulnya pada Sukan SEA Manila 1991. – UTUSAN










