PETALING JAYA: Kemenangan tipis dalam acara akhir perseorangan wanita Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 menjadi detik manis buat atlet tenpin boling negara, Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi, apabila menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen negara di Doha, kelmarin.
Qurratu’Ain, 17, menewaskan pencabar terdekat dari China, Li Yiru dengan kelebihan kecil dalam saingan penuh mendebarkan manakala tempat ketiga milik Ho Yi Qing dari Taiwan.
Mengulas kejayaan tersebut, Qurratu’Ain mengakui kemenangan itu menjadi peringatan besar buat dirinya bahawa setiap balingan membawa makna yang sangat besar dalam sukan itu.
“Ia sememangnya kemenangan yang sangat tipis, tetapi tetap kemenangan. Saya amat bersyukur dengan keputusan ini.
“Ini mengingatkan saya bahawa setiap saat dan setiap balingan amat bermakna. Saya perlu kekal fokus dan terus memperbaiki diri kerana lebih banyak cabaran sukar menanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Qurratu’Ain meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita di Kejohanan Terbuka Hong Kong dan kejayaan terbaru ini mengukuhkan reputasinya antara bintang muda paling menyerlah dalam arena boling negara.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan prestasi saya setakat ini. Ia satu pencapaian besar buat saya dan membuktikan bahawa latihan intensif serta segala pengorbanan selama ini mulai membuahkan hasil,” ujarnya.
Atlet dan juga pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini itu turut mengakui cabaran untuk mengimbangi antara komitmen akademik dan latihan, namun tetap meletakkan matlamat tinggi dalam sukan.
“Sekarang saya cuba seimbangkan antara akademik dan sukan. Fokus utama tahun ini adalah SPM, tapi dalam masa yang sama saya tetap mahu konsisten dan berusaha capai podium dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
“Harapan saya yang paling besar adalah diberi peluang mewakili negara dalam World Youth Championship 2026, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










