Sampai bila Perlembagaan dalam bahasa Melayu hanya terjemahan?

Sampai bila Perlembagaan dalam bahasa Melayu hanya terjemahan?

SUDAH tiba masanya versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan diangkat sebagai naskhah yang berwibawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLEMBAGAAN Persekutuan dalam bahasa Melayu sebagai naskhah yang berwibawa bukan sahaja amat diperlukan, malah sangat penting. Keperluan dan kepentingan ini jelas dapat dilihat dari pelbagai sudut.

Dari sudut perundangan, naskhah sebegini dapat menjamin ketetapan iaitu suatu keadaan yang tidak mudah berubah-ubah serta kejelasan, yakni suasana terang dan bebas daripada sebarang keraguan.

Dengan ini, ia akan memastikan undang-undang tertinggi negara bukan sahaja dapat difahami dengan baik, juga diterapkan secara konsisten pada sepanjang masa.

Pada masa ini, teks dalam bahasa Inggeris pada Perlembagaan Negara merupakan naskhah yang berwibawa. Dengan ini, ia bermakna teks itu diiktiraf sebagai versi undang-undang sah, khususnya apabila terdapat terjemahan sebagai versi dalam bahasa lain.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menjadikan versi bahasa Melayu yang telah lama siap diterjemahkan sejak 2003 sebagai naskhah berwibawa bagi Perlembagaan Persekutuan telah lama dimulakan.

Untuk ini, Perkara 160 (B) Perlembagaan Persekutuan mengizinkan Ketua Negara memperkenan versi bahasa Melayu sebagai naskhah yang berwibawa.

Dalam pada ini, Jabatan Peguam Negara telah lama mencadangkan agar versi bahasa Melayu bagi Perlembagaan Negara dijadikan naskhah yang berwibawa.

Namun ia belum dapat dilaksanakan lagi. Ini antaranya disebabkan adanya bantahan perundangan sengit tentang peralihan kepada versi bahasa Melayu. Ia dibimbangi sesetengah pihak akan membawa kesan buruk yang tidak dapat dijangkakan.

Versi bahasa Melayu amat diperlukan dan penting sekali untuk bidang kenegaraan. Ini kerana setelah tertubuhnya negara pada 1957 atas nama Persekutuan Tanah Melayu dan pada 1963 atas nama Persekutuan Malaysia, tidak keterlalauan jika dikatakan perkara sepenting dan senasional ini sepatutnya sudah lama berlaku, yakni diselesaikan sejak dahulu lagi.

Namun begitu, ia masih tidak pernah lewat untuk dilakukan sekarang daripada tidak dilakukan langsung. Ini kerana walaupun sudah sangat lambat atau telah lama tertangguh tetapi jauh lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa tentangnya untuk selama-lamanya.

Dari segi kenegaraan, ia amat diperlukan dan penting sekali untuk pembinaan negara. Dengan adanya naskhah bahasa kebangsaan, ia sebenarnya mengukuhkan institusi bahasa Melayu yang bukan sahaja amat diperlukan negara tetapi penting sekali untuk kelangsungan bumi Melayu-Islam ini.

Ia memang wajib sebegitu kerana bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, bukan sahaja mewakili negara dan rakyat sebagai bahasa kebangsaan tetapi wajib digunakan dalam ranah kenegaraan selaku bahasa rasmi.

Kewujudan naskhah berwibawa dalam bahasa Melayu sebenarnya turut memperkukuh legitimasi negara, bukan sahaja dari sudut nasional di mata rakyat sendiri, malah juga di peringkat antarabangsa di pandangan warga dunia.

Ini kerana Malaysia bukan sahaja dilihat, malah memang benar-benar memiliki identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Dalam hal ini, identiti nasional merujuk jati diri kebangsaan bersama yang merentas etnisiti dan agama didukung semua pihak. Manakala identiti budaya adalah pelestarian warisan yang sememangnya adalah sejarah, nilai dan aspirasi bumi Melayu-Islam ini, yang ikut dipamerkan oleh semua pihak.

Selain amat diperlukan dan penting sekali untuk pembinaan negara, ia juga sebegitu bagi pembentukan bangsa. Ini kerana dengan institusi bahasa Melayu selaku bahasa negara diperkasa dalam pembinaan negara, ia akan seterusnya memupuk perasaan kekitaan pada pembentukan bangsa, yakni semua pihak bergerak sebagai satu komuniti nasional.

Perasaan kekitaan inilah yang akan mengikat rakyat berbilang etnisiti dan agama bukan sahaja kepada negara sebagai tanah air kita semua, juga satu set nilai dikongsi semua pihak sebagai satu bangsa, yakni kelompok nasional walaupun berasal dari pelbagai etnisiti dan agama.

BAHASA MODEN

Dengan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956, bahasa Melayu berjaya dibangunkan dengan cemerlang sekali, iaitu daripada sebuah vernakular etnik Melayu sebelum merdeka. Kini bahasa Melayu selaku bahasa negara sudah pun mencapai status bahasa saintifik moden.

Sebagai bahasa saintifik moden, ini bermakna bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa jua bidang ilmu, termasuklah perundangan.

Bahasa Melayu menjadi sedemikian berjaya lagi cemerlang kerana korpusnya dibangunkan dengan baik sekali oleh DBP. Dengan ini, sistem sebutan, ejaan dan tulisan, pembentukan kata dan ayat, kejelasan makna, haluan wacana dan lain-lain, bukan sahaja amat mantap. Juga ia mampu memandaikan anak bangsa serta memajukan negara.

Sehubungan ini, bahasa Melayu laras undang-undang sudah pun lama wujud. Dalam pada ini, ia berkembang dengan jayanya untuk sekian lama, bersama-sama ratusan laras yang lain.

Persoalannya di sini ialah sikap kita terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang turut memikul tanggungjawab sebagai lambang kebangsaan dan medium rasmi negara.

Sikap ini tidak dapat dinafikan negatif, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.

Sebenarnya masalah bahasa Melayu lebih merupakan persoalannya sebagai bahasa rasmi. Dengan ini, ia yang wajib digunakan dalam ranah kenegaraan, lebih-lebih lagi dalam kesemua sistem negara, mahu diingkari. Hal ini begitu jelas sekali dalam sistem perundangan.

Inilah persoalan utamanya dengan isu naskhah yang berwibawa dalam bahasa Melayu yang sudah lama tertangguh itu. Ia tidak mahu diyakini, antara yang utamanya untuk memberi keadilan dari segi undang-undang, hanya kerana ia merupakan terjemahan sahaja.

Sebenarnya, maju mundur bahasa Melayu, sama ada sebagai bahasa kebangsaan, lebih-lebih lagi selaku bahasa rasmi, terletak sepenuhnya pada kerajaan. Ini kerana akibat dan kesan terhadap bahasa Melayu daripada kerajaan, pasti akan mempengaruhi keberadaan semasa dan kelangsungan mendatangnya di negara ini.

Untuk ini, kerajaan digesa untuk segera menjadikan versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai naskhah yang berwibawa. Ini bermakna naskhah bahasa Melayu itu adalah satu-satu teks sah lagi sahih dalam sistem perundangan di negara ini. Dengan ini, ia akan menamatkan sistem dwibahasa Inggeris-Melayu yang diamalkan kini.

Dengan ini juga, ia akan menggugurkan nota peringatan pada versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘hanyalah terjemahan’.

Untuk ini betul-betul terjadi, Perkara 160 (B) pada Perlembagaan Persekutuan adalah satu-satunya kuasa yang boleh mengangkat versi bahasa Melayu yang telah selesai diterjemahkan pada 1972 lagi, sebagai naskhah yang berwibawa.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN