PETALING JAYA: Kontinjen renang negara menjadikan dua kejohanan besar, Sukan Universiti Dunia dan Kejohanan Renang Dunia sebagai persiapan terbaik ke Sukan SEA Thailand 2025.
Enam perenang negara kini berada di Berlin, Jerman bagi menyertai Sukan Universiti Dunia yang bermula pada hari ini hingga 27 Julai dan ketua jurulatih, Eric Anderson berkata kejohanan tersebut mampu memberi impak kepada wakil negara untuk beraksi lebih kompetitif.
“Kami menjadikannya sebagai satu pertandingan yang perlu diberi perhatian kerana ia memberi peluang terbaik kepada perenang negara. Kami sertainya kerana kami fikir ia sebagai satu persiapan terbaik bagi menghadapi Sukan SEA 2025.
“Kemudian kami akan sertai Kejohanan Renang Dunia di Singapura yang turut disertai beberapa perenang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Enam perenang negara tersebut adalah Arvin Shaun Singh yang akan beraksi dalam acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas, Khiew Hoe Yean (200m gaya bebas), Andrew Goh (50m dan 100m kuak dada), Lim Yin Chuen (50m dan 100m gaya bebas), Jayden Tan (200m dan 400m berirama individu) dan Bryan Leong (50m dan 100m kuak kupu-kupu).
Tambah Anderson, kesemua perenang tersebut diletakkan sasaran untuk melepasi saringan awal bagi sebelum beraksi di separuh akhir dan final.
“Saya fikir Khiew Hoe Yean dan Andrew Goh boleh ke final.Saya fikir kebanyakan mereka boleh (layak ke final),” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Sukan Universiti Dunia di Sheffield, England pada 1991 menerusi Jeffrey Ong yang membawa pulang perak dalam acara 1,500m gaya bebas. – UTUSAN










