PETALING JAYA: Biarpun berdepan cabaran sengit daripada pemain elit antarabangsa, atlet muda boling tenpin negara, Qurratu’ain Izdihar Pozi tetap mampu tersenyum selepas berjaya meraih tempat ketiga kategori Terbuka Wanita Kejohanan Terbuka Hong Kong.
Lebih manis, kejayaan tersebut diraih selepas beliau berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik bersama dua atlet Singapura, juara bagi kategori terbuka wanita, New Hui Fen dan pemenang tempat kedua, Colleen Pee.
Katanya, kejayaan itu bukan sekadar penamat podium, malah menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki prestasi menjelang kejohanan akan datang.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua jurulatih yang banyak membantu saya sepanjang kejohanan ini, termasuk Coach Azidi, Coach Alex, Coach Ben Heng, Coach Gerald serta Sir Hollaway dan Coach Wendy yang sentiasa menjadi mentor sejak saya direkrut dalam pasukan.
“Tidak dilupakan juga kepada Setiausaha Agung, Maradona, Kongres Tenpin Boling Malaysia(MTBC) dan Majlis Sukan Negara(MSN) atas peluang yang diberikan kepada saya untuk beraksi di kejohanan dalam dan luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Atlet berusia 17 tahun itu mengakui bimbingan jurulatih dan sokongan keluarga menjadi kekuatan utama untuknya kekal fokus sepanjang kejohanan berlangsung.
Tambahnya, peluang beraksi di pentas sama dengan pemain berpengalaman seperti Syazwani Sahar, Faten Najihah, Puteri Dini dan atlet elit negara lain turut menjadi motivasi besar buat dirinya.
“Mereka semua lebih berpengalaman daripada saya, tetapi itu bukan halangan. Saya amat teruja diberi peluang bertanding dengan mereka di pentas besar seperti ini.
“Dengan latihan mencukupi daripada jurulatih, saya yakin saya mampu bersaing dengan atlet berpengalaman,” jelasnya.
Qurratu’ain turut berazam untuk terus memperbaiki kemahiran dan prestasinya dalam kejohanan akan datang, termasuk Kejohanan Remaja Asia di Qatar sekiranya keadaan mengizinkan.
“Kalau tak ke Qatar, saya akan sertai Kejohanan Terbuka Thailand dalam masa dua minggu lagi.
“Masih berbaki dua kejohanan tahun ini, saya harap dapat mengekalkan prestasi dan menutup tirai kejohanan tahun ini dengan keputusan membanggakan sebelum saya fokus kepada Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) hujung Oktober ini,” ujarnya. – UTUSAN










