PETALING JAYA: Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli tetap bangga dengan prestasi keseluruhan anak buahnya di Tajikistan meskipun Malaysia gagal melayakkan diri ke Piala Asia Wanita tahun hadapan.
Malaysia yang berada di kedudukan ke-102 dunia, tewas 0-6 kepada pasukan ranking No. 9 dunia, Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia 2026 di Dushanbe, Tajikistan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan dua kemenangan dan satu kekalahan, namun gagal layak ke Piala Asia Wanita 2026 berikutan hanya juara kumpulan sahaja mendapat slot berkenaan.
“Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana dalam dua perlawanan pertama, kami menentang pasukan yang setaraf, dan kami menang.
“Kemudian kami bertemu Korea Utara, sebuah pasukan yang jauh lebih berpengalaman, dengan pemain yang sudah lama bermain di peringkat tinggi. Jadi, semestinya mereka lebih bersedia,” kata Cornelli.
Walaupun gagal mara, pemain Malaysia telah mempamerkan semangat juang dan disiplin tinggi sepanjang kempen kelayakan, apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin dan Tajikistan sebelum berdepan lawan jauh lebih kuat, Korea Utara.
“Ini merupakan kejohanan pertama saya bersama Malaysia, dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah kami capai.
“Dengan lebih masa dan persiapan, saya yakin kita boleh meningkat dan memberi saingan lebih baik dalam kejohanan akan datang,” kata ketua jurulatih kelahiran Brazil itu.
Korea Utara, yang sebelum ini membelasah Palestin dan Tajikistan masing-masing 10-0, sekali lagi menunjukkan kehebatan mereka apabila menewaskan Malaysia dengan penuh bergaya.
Mereka menjaringkan gol menerusi Kim Hye Yong pada minit ke-40, Myong Yu Jong (m-46), Kim Kyong Yong (m-52, 55, 78) dan Ri Hye Gyong (m-90).
Pasukan itu menamatkan saingan kumpulan dengan rekod sempurna mengutip sembilan mata, 26 gol dijaringkan, tanpa dibolosi sekaligus melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 di Australia.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita adalah pada tahun 2001 ketika kejohanan berlangsung di Taiwan. – UTUSAN










