PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan tiada pemain yang dijamin tempat dalam pasukan kebangsaan sebaliknya perlu bekerja keras untuk membuktikan mereka benar-benar layak menggalas tugas bersama skuad negara.
Cklamovski berkata, dia mengamalkan prinsip bahawa panggilan skuad kebangsaan bukanlah satu keistimewaan walaupun pemain pernah diberi kepercayaan dalam perlawanan antarabangsa sebelum ini, itu tidak bermakna tempat mereka terjamin untuk aksi seterusnya.
“Saya teruja untuk menyaksikan Liga Super bermula semula dan ada tempat yang boleh direbut. Saya sentiasa memantau persembahan mereka sebelum membuat pilihan untuk menghimpunkan yang terbaik.
“Saya rasa ya (peluang terbuka kepada semua pemain) dan saya ada mentaliti bahawa mereka yang memakai jersi Malaysia, hanya meminjamnya untuk sesuatu perlawanan semata-mata.
“Anda perlu mendapatkannya kembali pada perlawanan seterusnya. Saya harap semua pemain berada dalam keadaan lebih baik berbanding musim lalu dan memberikan yang terbaik supaya dapat dipilih,” kata Cklamovksi.
Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada jendela FIFA bulan September ini, setelah menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025.
Malaysia dijadual menentang Singapura, yang kini menghuni ranking ke-159 dunia pada 4 September diikuti perlawanan menentang Palestin (ranking ke-98) empat hari kemudian. – UTUSAN










