Merit ke Olimpik bukan mimpi kosong

Merit ke Olimpik bukan mimpi kosong

KARIM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADDIMAH
USAHA membina semula kegemilangan olahraga negara tidak boleh bergantung kepada perancangan jangka pendek semata-mata, sebaliknya pelaburan terhadap pembangunan akar umbi mesti dijadikan asas utama dalam mencipta kejayaan.
Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim menegaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah melahirkan generasi baharu atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi, bermula dari peringkat sekolah hingga ke pentas antarabangsa.
Bagi beliau, kejayaan sesebuah negara dalam arena sukan bergantung kepada sejauh mana mereka berani berfikir panjang dan konsisten dalam membina struktur pembangunan yang menyeluruh.
Wartawan Mingguan Malaysia, Aminnudin Lokman Hakim mendapatkan pandangan Karim mengenai strategi pembangunan akar umbi, keutamaan semasa MA, serta hala tuju sukan olahraga menuju temasya penting seperti Sukan SEA Thailand dan Olimpik.

MINGGUAN: Apa yang mendorong Datuk kembali semula menerajui MA selepas menyepi sekian lama?

Saya kembali bukan kerana kedudukan, tetapi atas dasar tanggungjawab dan amanah. Saya kembali untuk memulihkan semula prestasi dan struktur olahraga negara yang agak merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Saya lihat masih banyak ruang yang boleh ditambah baik, dan saya percaya pengalaman saya sebelum ini boleh dimanfaatkan.

Apa Hasrat Datuk sebenarnya apabila kembali dalam persatuan?

Hasrat saya hanya satu iaitu mahu melihat olahraga Malaysia kembali disegani di peringkat Asia dan antarabangsa. Kita pernah berada pada tahap itu, dan saya yakin kitab oleh mencapainya semula dengan perancangan yang strategik dan kerjasama semua pihak.

Selepas diberi laluan oleh bekas Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak mempertahankan jawatan presiden, Datuk melantiknya semula sebagai Presiden seumur hidup. Kenapa?

Pelantikan beliau (Shahidan) sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup adalah bentuk penghargaan terhadap sumbangan besar beliau kepada MA selama ini.
Sepanjang menerajui MA, beliau telah membawa banyak pembaharuan bukan sahaja dari segi program dan peluang kepada atlet tetapi juga dalam aspek promosi dan pendedahan sukan kepada masyarakat.
Zaman beliau menyaksikan bagaimana media sosial MA diperkasakan. Kita kini mempunyai platform rasmi seperti Facebook, Instagram, Youtube dan Telegram yang aktif dan berfungsi untuk menyampaikan informasi terus kepada peminat olahraga.
Ini satu lonjakan besar dalam aspek komunikasi dan keterbukaan, dan legasi ini kita mahu kekalkan dan pertingkatkan lagi. Maka pelantikan ini adalah simbolik untuk menghargai segala usaha dan visi beliau.

Baru sahaja memimpin, Datuk ambil tindakan dengan tidak menyambung kontrak Robert J. Ballard. Alasannya tidak cukup bajet. Apakah ini benar?

Sebenarnya, keputusan untuk tidak menyambung kontrak Robert J. Ballard dibuat sebelum Mesyuarat Agung Olahraga Malaysia pada 15 Jun lalu. Jadi, ini bukan keputusan saya secara peribadi selepas dilantik, tetapi satu keputusan kolektif yang mengambil kira realiti kewangan semasa.
Kita harus ukur baju di badan sendiri.Dana yang kita ada sangat terhad, dan kita merasakan ia lebih wajar digunakan untuk pembangunan atlet tempatan dan persiapan ke temasya penting seperti Sukan SEA Thailand di Bangkok. Kita perlu berani menyusun semula keutamaan.
Selain faktor bajet, keputusan ini juga dibuat atas asas strategi kita mahu memberi ruang kepada jurulatih tempatan yang memiliki kefahaman lebih mendalam terhadap ekosistem sukan di negara ini. Ini bukan bermakna kita menolak kepakaran luar, tetapi kita mesti bersikap realistik dalam menguruskan sumber dan menilai keberkesanan pelaburan.

Datuk ambil semula Mohd Poad Md Kassim dan Manshahar Abdul Jalil untuk melatih atlet. Apakah kriteria yang mendorong Datuk untuk mengambil semula kedua-duanya?

Kedua-dua jurulatih ini memang ada rekod prestasi yang jelas. Mohd. Poad contohnya, memang berada dalam perancangan MA untuk tahun hadapan, bukan tahun ini, kerana beliau kini bertugas di sebuah sekolah di Kedah di bawah Kementerian Pendidikan.
Walaupun tidak dilantik secara rasmi tahun ini, beliau tetap menunjukkan komitmen dan turun ke Kuala Lumpur dua kali sebulan untuk membantu atlet. Kita hargai kerjasama itu dan beliau kekal sebahagian daripada rangka kerja pembangunan atlet.
Bagi Manshahar pula, beliau cukup arif dengan system kejurulatihan sedia ada dan kenal rapat dengan para atlet. Dengan baki hanya lima bulan menuju Sukan SEA Bangkok, kita perlukan jurulatih yang sudah bersedia dan mampu terus bekerja.Saya juga akan bertemu beliau secara langsung untuk mendengar perancangan dan pendekatan beliau.

Kebanyakan atlet yang ada sekarang sudah meningkat usia tetapi masih lagi menjadi harapan. Sampai bila?

Saya tidak bersetuju jika dikatakan kita kekurangan bakat baharu. Sebenarnya, bakat itu ada, Cuma belum diberi pendedahan secukupnya. Sebagai contoh, pelari pecut muda dari Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus membuktikan kehebatannya apabila menjuarai acara 100 meter(m) dan 200m di kejohanan Olahraga Super Series di Stadium Merdeka.
Begitu juga dengan Sayyid Amin, juara acara 200m di SEA Youth Athletics Championship di Sabah tahun lalu.
Kami juga bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui pelbagai program pembangunan bakat dan pelapis. Setakat ini, kita telah mengenal pasti 100 atlet pelapis yang sedang dibangunkan melalui program ini.
Selain itu, kami akan memantau Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos di Perlis untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu yang boleh diserap ke dalam program pelapis.
Fokus kita sekarang adalah kepada pembangunan atlet muda melalui pelbagai peringkat iaitu dari peringkat sekolah, Sukan Malaysia (SUKMA), dan peringkat kebangsaan dengan sokongan penuh dari MSN dan Majlis Sukan Negeri. Beberapa muka baharu sudah menunjukkan potensi yang sangat baik, dan kita akan terus beri perhatian dan bimbingan supaya mereka mampu menyinar di pentas lebih tinggi.

Datuk ada sebut tentang sasaran Sukan Olimpik, adakah ini impian semata-mata atau realiti?
Siapa yang tidak mahu melihat atlet negara ke Olimpik? Tapi kita perlu bekerja secara terancang untuk ke arah itu. Ia bermula dari peringkat sekolah dengan bimbingan yang konsisten kepada atlet berpotensi.
Setakat ini, pihak kerajaan melalui MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah banyak membantu. Cuma kita amat berharap agar lebih banyak pihak swasta tampil beri sokongan.
Dengan penglibatan mereka, kita mampu menghantar lebih ramai atlet ke pertandingan antarabangsa dan menyediakan latihan instensif yang diperlukan. Kalau kita tak berani bermimpi, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Tapi mimpi itu perlu datang bersama pelan tindakan yang jelas.
Kita tidak menjanjikan pingat tetapi kita letakkan sasaran untuk layak secara merit, dan itu adalah satu langkah realistik yang sedang kita usahakan bersama.

Sejauhmana datuk melihat masa depan olahraga Malaysia. Banyak persatuan sudah mulai mencari atlet warisan, terbaharu ialah sukan renang, bagaimana olahraga.

Masa depan olahraga Malaysia bergantung pada sejauh mana kita berani melabur dalam pembangunan akar umbi. Kita juga tidak menolak konsep atlet warisan jika ada yang layak dan sanggup mewakili Malaysia secara sah. Tetapi kita juga perlu kukuhkan sistem sedia ada. Warisan atau tidak, yang penting ialah prestasi dan kesungguhan mewakili negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN