Masa untuk intai lawan

Masa untuk intai lawan

Pemain skuad Bawah 23 negara menjalani latihan di Shah Alam sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 (B-23) negara menjadikan hasil analisis pasukan lawan sebagai formula menyusun strategi menghadapi Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia.

Dalam saingan yang bermula 15 Julai ini, skuad negara kendalian Nafuzi Zain diundi dalam Kumpulan A Bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan juga Brunei.

Menurut Nafuzi, pemahaman taktikal dan persediaan strategi sangat penting untuk memastikan pasukan berjaya melepasi halangan di peringkat kumpulan dan melangkah jauh dalam kejohanan itu.

“Kita sedang menganalisis dan menilai setiap pasukan. Dari segi taktikal, kita tidak boleh ambil mudah kerana setiap pasukan ada gaya permainan tersendiri dan kita perlu bersedia dari semua sudut,” katanya.

Selain itu katanya, prestasi dalaman pasukannya sendiri juga menjadi keutamaan bagi memastikan pemain faham sistem permainan yang diterapkan barisan kejurulatihan.

“Latihan dan ujian perlawanan persahabatan yang dijalankan penting untuk melihat sama ada pemain dapat melaksanakan apa yang dirancang. Ini bukan sekadar soal menang atau kalah, tapi bagaimana kita bersedia secara menyeluruh.

“Ini baru permulaan, tapi saya nampak ada tanda-tanda positif. Pemain cuba faham peranan masing-masing. Walaupun belum sempurna, ini petanda yang baik untuk kita terus perbaiki dalam baki masa yang ada,” katanya.

Mengulas persiapan pasukan, Nafuzi berkata, kemenangan 1-0 ke atas pasukan Liga Super, PDRM FC dalam aksi pemanas badan memberikan suntikan keyakinan kepada barisan mudanya.

“Secara keseluruhan, saya nampak ada tanda-tanda positif. Pemain cuba melaksanakan perancangan taktikal yang kita tetapkan. Biarpun belum sempurna, saya gembira kerana ada peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain,” katanya.

Beliau berkata, pasukan akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan menentang Melaka dan Negeri Sembilan sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadapi kejohanan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN