Malaysia sertai semua sukan kecuali bola baling

Malaysia sertai semua sukan kecuali bola baling

Mohd. Nasir Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontinjen Malaysia akan menyertai semua acara yang dipertandingkan di Sukan SEA 2025 yang berlangsung di tiga wilayah di Thailand pada hujung tahun ini kecuali sukan bola baling.

Setiausaga Agung Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, pada temasya itu, kontinjen negara juga akan menyertai tiga acara demonstrasi dan satu acara khas.

“Sudah diputuskan 54 sukan dipertandingkan di Sukan SEA 2025 termasuk tiga acara demontrasi dan satu acara khas. Kita (Malaysia) masuk semua, kecuali bola baling,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Difahamkan, MOM tidak menghantar skuad bola baling ke Sukan SEA kerana Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) masih mempunyai hutang tertunggak kira-kira RM133,000 dengan badan induk itu.

Pada 2021, Setiausaha Agung MOM ketika itu, Datuk Nazifuddin Mohd Najib mengumumkan MAH dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas didapati gagal menyelesaikan hutang
membabitkan perbelanjaan skuad bola baling negara ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada bulan depan, Nasir menjangkakan tiada acara sukan yang akan digugurkan oleh tuan rumah, Thailand pada edisi kali ini.

“Rasanya tidak ada acara yang akan digugurkan. Kalau ada yang akan digugurkan ia cuma satu atau dua sukan sahaja dan tidak akan memberi kesan kepada kontinjen negara,” katanya

Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla akan membabitkan 574 acara keseluruhan dengan pecahan 277 acara lelaki, 240 wanita dan 57 campuran.

Enam jenis sukan, iaitu tenpin boling, angkat berat, wushu, karate, jujitsu dan kabaddi yang digugurkan sebelum ini disenaraikan semula pada Sukan SEA 2025.

Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini menamatkan kempen Sukan SEA 2023 di Kemboja pada kedudukan ketujuh keseluruhan selepas membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.

Sebelum ini, Nasir turut memaklumkan bahawa sasaran pingat kontinjen negara ke sukan dwitahunan itu masih belum diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN