PETALING JAYA: Jaguh boling tenpin negara, Sin Li Jane meletakkan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik pada kejohanan Persatuan Boling Profesional Wanita (PWBA) bermula esok di Amerika Syarikat (AS).
Atlet berusia 32 tahun itu berkata, saingan di pentas profesional itu amat sengit, namun beliau tetap optimis mampu memberikan aksi terbaik sekali gus menambah koleksi keputusan cemerlang musim ini.
“Setakat ini, prestasi saya di PWBA boleh dikatakan memuaskan. Pada Mei lalu, saya berjaya menduduki tempat kedua dalam kejohanan USBC Queens dan turut mencatatkan ‘perfect game’.
“Buat masa ini, saya berada di kedudukan keempat dalam ranking keseluruhan PWBA. Jadi, saya akan berusaha sebaik mungkin di AS nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Li Jane bekjata, kejohanan di AS menjadi antara medan penting untuk dia mengutip mata berharga dalam misi memperbaiki kedudukan ranking selain terus memburu kejuaraan.
“Jelajah profesional ini memang sangat kompetitif. Kalau dapat berada dalam kelompok lima terbaik pun sudah cukup bagus,” katanya.
Untuk rekod, Li Jane merupakan antara pemain boling tenpin negara yang konsisten menggalas cabaran di pentas antarabangsa apabila pernah merangkul kejuaraan dunia itu dalam siri kejohanan PWBA sebelum ini.
Ketika ini, atlet kelahiran Ipoh, perak itu menduduki ranking keempat dunia dalam ranking musim PWBA 2025 dengan mengumpulkan 44515 mata. – UTUSAN










