Keserasian Qurratu’Ain, Adelia tuai pingat emas

Keserasian Qurratu’Ain, Adelia tuai pingat emas

QURRATU AIN Izdihar Mohd Pozi (kanan) bersama Adelia Nur Irwan Syazalee memenangi pingat emas dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar, semalam. - IHSAN MTBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keserasian yang terjalin sejak di bangku sekolah menjadi kunci kejayaan gandingan Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi dan Adelia Nur Irwan Syazalee menghadiahkan pingat emas dalam acara beregu Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Qatar.

Pasangan negara itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan sebelum dinobatkan juara dengan catatan keseluruhan 2,440 jatuhan pin meninggalkan pencabar terdekat dari Chinese Taipei, Yi Qing dan Hsin Tsen, sejauh 198 jatuhan pin.

Satu lagi pasangan Chinese Taipei, Yi Rou dan Yung Ying, meraih pingat gangsa dalam acara yang berlangsung sengit itu.

Menurut Qurratu’Ain, kejayaan mereka banyak dibantu keserasian yang terbina sejak menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bersama Adelia beberapa tahun lalu.

“Sebenarnya, saya dan Adelia memang dah ada chemistry sejak zaman sekolah lagi, masa kami sama-sama main untuk MSSM.

“Jadi, walaupun saya baru habis main acara individu, kami tak ada masalah besar untuk sesuaikan diri dalam beregu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pasangannya, Adelia berkata, kejayaan mereka adalah hasil perancangan teliti jurulatih dan pengurus pasukan, selain saling memahami gaya permainan masing-masing.

“Ini kali pertama kami digandingkan bersama secara rasmi, walaupun dah lama bermain boling bersama. Setiap pemain ada cara tersendiri dan alhamdulillah kami saling melengkapi.

“Saya akui prestasi saya masih ada ruang untuk diperbaiki. Saya perlu lebih konsisten dan cepat membuat penyesuaian ketika permainan,” katanya.

Sementara itu, skuad beregu lelaki negara turut mencatat pencapaian membanggakan apabila pasangan Muhammad Affan Azmi dan Yek Zhen Kho menghadiahkan gangsa dalam acara beregu lelaki selepas menamatkan saingan di tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN