Jersi Peter Shilton dilelong RM1.7 juta

Jersi Peter Shilton dilelong RM1.7 juta

Penyerang Argentina, Diego Armando Maradona (tiga dari kiri) berjaya melepasi pertahanan England, Terry Butcher (kiri) sebelum menuju kepenjaga gol, Peter Shilton dalam aksi suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jersi yang dipakai Peter Shilton ketika aksi suku akhir Piala Dunia 1986 menentang Argentina, terkenal dengan insiden ‘Hand of God’ oleh Diego Maradona, akan dilelong dengan nilai anggaran antara 200,000 pound (RM1.1 juta) hingga 300,000 pound (RM1.7 juta).

Jersi berwarna kelabu-biru itu menjadi simbol detik ikonik bola sepak dunia dan kini antara tarikan utama dalam koleksi memorabilia yang bakal dilelong oleh firma Graham Budd sempena Piala Dunia 2026.

Turut dilelong dalam majlis itu adalah pingat kejuaraan Piala Dunia 1958 milik legenda Brazil, Pele, yang dijangka bernilai hingga 500,000 pound (RM2.8 juta), serta pingat milik Gordon Banks dari kempen juara England pada 1966, dianggarkan mencecah RM1.7 juta.

Jersi Alan Ball yang digunakan pada final 1966 juga tersenarai dalam lelongan, bersama satu set lengkap tiket 32 perlawanan Piala Dunia 1966 yang bernilai hingga 10,000 pound (RM57,000).

Shilton, kini berusia 75 tahun dan pemegang rekod 125 kaps bersama England, difahamkan menjual jersi tersebut kepada seorang pengumpul peribadi selepas kekalahan dramatik England dalam kejohanan itu.

Majlis pelancaran lelongan akan diadakan di Manchester, dengan sebahagian koleksi turut dipamerkan di beberapa stadium Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Kejuaraan sepanjang tahun ini.

Menurut Ketua Memorabilia Graham Budd Auctions, David Convery, barangan seperti ini jarang dilelong secara terbuka dan mempunyai nilai sentimental serta sejarah luar biasa dalam dunia bola sepak.

Beliau menyifatkan perlawanan ‘Hand of God’ bukan sahaja penting dalam konteks sukan, tetapi turut membawa dimensi budaya dan politik yang besar, manakala Pele pula dianggap ikon global sepanjang zaman.

Perlawanan antara England dan Argentina akan terus dikenang apabila Maradona menjaringkan dua gol, satu dengan tangan dan satu lagi hasil larian solo sejauh 36 meter yang menyingkirkan The Three Lions serta mencetuskan kontroversi kekal dalam sejarah bola sepak dunia. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×