SINGAPURA: Newcastle kini bersedia mendengar semula tawaran rasmi Liverpool untuk penyerang mereka, Alexander Isak selepas usaha untuk mengekalkan penyerang Sweden itu di St James’ Park menemui jalan buntu.
Pengendali Newcastle, Eddie Howe tidak membawa Isak ke jelajah Asia sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris dan dia kekal di Tyneside selepas memberi alasan mengalami kecederaan paha.
Biarpun imbasan susulan mendapati tiada kecederaan serius, namun penyerang berusia 25 tahun itu tetap tidak mahu menyertai pasukan dan terbaharu meluahkan hasrat untuk menyertai Liverpool jika gajinya tidak dinaikkan.
Situasi ini meletakkan pemilik Newcastle dalam dilema, sama ada mahu memulakan rundingan untuk mendapatkan nilai maksimum bagi Isak, atau menolak semua tawaran dan memaksanya kekal di St James’ Park musim depan.
Walaupun pihak pengurusan kekal dengan pendirian mahu mengekalkan pemain terbaik mereka, hasrat Isak untuk berpindah mungkin memaksa pemilik membuat keputusan berdasarkan pertimbangan kewangan.
Jika tawaran Liverpool menghampiri 150 juta pound (RM847.5 juta), Isak berkemungkinan akan jual demi menambah kantung kewangan Newcastle dan mereka juga boleh merekrut pemain baharu dengan dana tersebut.
Howe mengesahkan kepada Mail Sport bahawa Isak tidak akan menyertai skuad di Korea Selatan dalam tempoh tujuh hari akan datang, dan turut mengulas kesan situasi ini terhadap moral pemain lain.
“Ini rutin biasa bagi pemain. Sudah tentu, kami akan merindui pemain berkualiti seperti Isak dan seluruh pasukan akan merasakannya.
“Saya tidak akan duduk di sini dan mendakwa bahawa mereka tidak akan terkesan. Tapi mereka kumpulan pemain yang sangat profesional dan setakat yang saya lihat, mereka mengendalikan situasi ini dengan baik,” kata Howe.
Newcastle masih dalam rundingan untuk mendapatkan pemain Brentford, Yoane Wissa, manakala Benjamin Sesko (RB Leipzig), Ollie Watkins (Aston Villa), dan Nicolas Jackson (Chelsea) juga berada dalam senarai pendek kelab.
“Kami tahu kami perlu membawa masuk pemain baharu. Kami sudah buat persediaan sejak akhir musim lalu, kami tahu apa yang kami mahu. Tetapi jendela perpindahan kali ini sangat mencabar. Kita tengok apa yang mampu kami lakukan,” katanya selepas tewas 2-3 kepada Arsenal dalam aksi persahabatan, kelmarin – AGENSI/UTUSAN










