PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, memahami kekecewaan dirasai peminat susulan keputusan mengejut skuad negara menarik diri daripada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Cklamovski secara jujur mengakui memahami sentimen penyokong yang kecewa, kerana beliau sedar bahawa bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia.
“Sebagai sebuah negara bola sepak, saya percaya budaya di Malaysia sangat kuat dengan bola sepak. Saya suka dengan semangat pemain, gembira melihat mereka bekerja keras di sesi latihan, dan saya sentiasa bersedia mengambil cabaran dalam memilih pemain terbaik untuk pasukan,” katanya.
Ketua jurulatih kelahiran Australia itu menjelaskan bahawa sejak hari pertama beliau tiba di Malaysia, usaha memahami realiti bola sepak tempatan menjadi keutamaannya termasuk memahami cabaran di peringkat pentadbiran, logistik dan sokongan penyokong.
“Saya mengambil beberapa bulan pertama untuk memahami ekosistem bola sepak Malaysia dan kini saya cukup jelas dengan cabaran yang wujud.
“Sebagai pasukan kebangsaan, kami mahu terus mara ke hadapan dan saya percaya bola sepak adalah medium terbaik untuk menyatukan rakyat negara ini,” katanya.
Keputusan Harimau Malaya menarik diri daripada CAFA 2025 nyata mengecewakan ramai, terutama kerana kejohanan tersebut sepatutnya menjadi peluang keemasan untuk menguji kekuatan pasukan menentang lawan berprofil tinggi seperti Iran, yang kini berada di ranking ke-20 dunia.
Namun, keputusan itu terpaksa dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk isu logistik, kalendar di luar tarikh rasmi FIFA, serta ketidakmampuan untuk menurunkan skuad terbaik.
Terdahulu, pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mohd Sadek Mustaffa turut berpandangan bahawa imej Malaysia boleh dilindungi dengan lebih baik sekiranya keputusan penarikan diri diumumkan lebih awal, sekali gus mengelak salah faham dalam kalangan peminat dan pihak penganjur.
Kini, perhatian tertumpu kepada langkah seterusnya skuad Harimau Malaya dalam membina semula keyakinan penyokong menjelang kempen penting seperti Kelayakan Piala Asia 2027 dan Kejohanan Piala ASEAN. – UTUSAN










