Boleh berbudaya, asal tidak langgar syariat

Boleh berbudaya, asal tidak langgar syariat

JOHOR mengalami pertambahan populasi penduduk secara mendadak antara 10 hingga 20 peratus menjelang 2030. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA merujuk kepada cara hidup sesuatu masyarakat yang merangkumi kepercayaan, nilai, adat resam, bahasa, kesenian, undang-undang serta tingkah laku yang diwarisi dan diamalkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Budaya juga boleh terbentuk melalui pengulangan amalan harian yang dilakukan oleh sesebuah keluarga atau masyarakat sehingga menjadi kebiasaan dan diterima sebagai norma.

Sebagai contoh, budaya dari sudut berpakaian jika tidak dipandu oleh ajaran Islam, masyarakat akan mudah terpengaruh dengan trend semasa yang tidak menepati tuntutan syarak. Begitu juga dengan budaya dalam percakapan dan pergaulan, yang sepatutnya berlandaskan panduan Islam, bukannya semata-mata alasan ‘kebiasaan’ atau ‘adat setempat’ yang kadangkala mengandungi unsur carutan dan perbuatan biadab.

Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian budaya dan adat dalam kalangan masyarakat selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip syariat.

Islam tidak menyekat umatnya daripada mengamalkan budaya nenek moyang mereka, bahkan menghargai warisan tersebut jika ia selari dengan nilai murni Islam.

Contohnya, ketika Rasulullah SAW memasuki rumah dan mendapati dua orang budak perempuan sedang menyanyi, Baginda tidak memarahi atau melarang sebaliknya membiarkan mereka meneruskan aktiviti tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ini jelas menunjukkan Islam bersifat terbuka dan penuh rahmat.

Keterbukaan ini juga terserlah apabila Islam tidak menghalang penganutnya daripada mengenakan pakaian tradisional seperti sari, cheongsam atau kurta, asalkan ia menepati garis panduan aurat yang ditetapkan dalam Islam.

Demikian juga dengan sambutan perayaan berbentuk kebudayaan seperti Tahun Baru Cina yang tidak mempunyai unsur keagamaan. Ia dibenarkan disambut dalam semangat perpaduan dan toleransi.

Sabda Rasulullah SAW: “Apa yang dilihat oleh orang Islam sebagai baik, maka di sisi Allah juga baik dan apa yang mereka lihat sebagai buruk, maka buruk juga di sisi Allah.” Ini menegaskan nilai baik menurut masyarakat yang tidak bercanggah dengan Islam boleh diterima sebagai budaya yang dihargai.

Namun begitu, kekeliruan dalam kalangan umat Islam sering berlaku apabila ada dalam kalangan mereka berkeras untuk mengekalkan budaya warisan walaupun jelas bercanggah dengan hukum Islam. Alasannya hanyalah kerana “sudah biasa dilakukan sejak dulu”.

Perbuatan seperti pergaulan bebas antara ahli keluarga yang bukan mahram, misalnya, masih dianggap normal dalam sesetengah masyarakat meskipun ia jelas dilarang dalam Islam. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran dan ilmu agama dalam menilai mana-mana budaya yang diwarisi sama ada ia perlu diteruskan atau ditinggalkan demi menjaga kesucian agama.

SEIMBANG

Oleh itu, penting bagi umat Islam untuk sentiasa mengimbangi antara memelihara budaya dan mematuhi tuntutan agama. Pendidikan agama yang menyeluruh sejak usia muda mampu membentuk masyarakat yang bukan sahaja celik budaya tetapi juga celik syariat.

Masyarakat yang memahami batas agama tidak akan mudah mempertahankan adat semata-mata atas nama tradisi tetapi akan memastikan setiap amalan mereka berlandaskan kebenaran dan nilai murni Islam.

Akhir kata, usaha melestarikan agama dan budaya perlu berjalan seiring dan harmoni. Islam tidak pernah menolak budaya, malah menghormatinya selagi tidak menyalahi prinsip agama. Maka, marilah kita bersama-sama menilai kembali setiap amalan budaya dalam kehidupan seharian kita.

Budaya yang baik harus dipertahan dan ditambah nilai dengan roh keislaman, manakala budaya yang bercanggah perlu ditinggalkan demi kebaikan diri, keluarga, dan umat secara keseluruhannya. Jangan hilang agama dan jangan biadab.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pensyarah di Pengajian Asasi, Management and Science University (MSU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN