Bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang di tanah air sendiri

Bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang di tanah air sendiri

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK sekian kalinya keputusan mahkamah dibuat dengan mengambil kira faktor bahasa Melayu sebagai bahasa negara, sama ada dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi, mahupun kedua-duanya sekali.

Walaupun ia berupa hanya hal teknikal, yakni antaranya bercanggah dengan tujuan sesuatu perundangan itu, namun tidak dapat dinafikan faktor bahasa negara itu amat penting.

Ini dapat dilihat apabila sesuatu keputusan mahkamah itu tidak memihak kepada pihak tertentu hanya kerana faktor ini. Antaranya disebabkan tidak adanya terjemahan sesuatu dokumen dalam bahasa Melayu. Ini merupakan ketidakpatuhan terhadap Aturan 92 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Meskipun kedudukannya begitu penting sehingga mampu menjadi sebab sesuatu rayuan ditolak, namun bahasa Melayu selaku bahasa negara masih diibaratkan seperti melukut di tepi gantang di tanah air sendiri. Hal ini menggambarkan meskipun peranannya begitu besar namun bahasa Melayu masih tidak berdaya dan seolah-olah tidak berguna kerana terus-menerus dipinggirkan.

Inilah sebenar-benarnya nasib bahasa Melayu waima sebagai bahasa negara yang mendukung peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Hal ini sepatutnya tidak berlaku setelah hampir 70 tahun dinobatkan sebagai bahasa negara, dengan kedudukan utamanya ini termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pun begitu, bahasa Melayu didapati menongkah arus secara negatif sepanjang tempoh ini. Ini berbeza sekali dengan di Indonesia di mana ia berkembang sebagai bahasa Indonesia sekali gus menongkah arus secara positif.

Dalam hal ini, bahasa Indonesia setelah diangkat menjadi bahasa negara republik itu secara rasmi pada 1945, kini adalah antara bahasa rasmi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mulai 2023. Dengan ini, bahasa Indonesia boleh digunakan dalam Persidangan Umum UNESCO.

Begitu juga hasrat untuk menjadikan bahasa Indonesia antara bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2045, iaitu pada ulang tahun ke-100 penubuhan Republik Indonesia. Ini tidak mustahil dan semoga menjadi kenyataan apabila tiba masanya nanti.

Dengan fakta nyata dan hasrat kuat ini, penyebaran bahasa Indonesia di luar wilayah watannya di persada dunia kini dan pada masa mendatang, pasti menjadi kenyataan. Ia didapati berjaya di luar Indonesia antaranya kerana sudah mantap sekali kedudukannya di republik itu dari segala segi.

Kemantapan ini dapat dilihat dengan amat jelas oleh sesiapa sahaja, termasuk yang berada di luar Indonesia. Ia bukan sahaja pada kebanggaan setiap rakyat republik itu terhadap bahasa Indonesia. Juga pada kecintaan dan kesetiaan seluruh rakyat di segenap pelosok Indonesia.

Kemantapan ini dapat dilihat semasa Indonesia menyampaikan usul bertulis sebanyak dua halaman sahaja untuk dipertimbang UNESCO, agar menerima bahasa negara itu sebagai bahasa rasmi terbaharu. Sehubungan ini, ia diterima tanpa pun meminta rombongan Indonesia membentangkannya.

Ini tidak dapat dinafikan adalah antaranya kerana bahasa Indonesia yang sudah mantap di dalam Indonesia sendiri, diyakini UNESCO akan terus dimantapkan di luar Indonesia oleh pemerintah dan rakyat Indonesia. Inilah nasionalisme dan patriotisme lingusitik bahasa Indonesia yang diyakini dunia.

Keadaan ini amat berbeza dengan Malaysia, yang menongkah arus dalam arah yang negatif. Ini menunjukkan bahasa Melayu masih terus bergelut dengan masalah asas, meskipun diangkat sebagai bahasa negara hampir 70 tahun lalu. Hal ini jelas dapat dilihat dalam peranannya sebagai bahasa rasmi, yang sepatutnya digunakan secara wajib dalam ranah kenegaraan.

Sepatutnya dengan negara bertambah matang dari segi usia kewujudannya, bahasa Melayu terus maju ke hadapan. Bukannya mundur ke belakang dengan terpaksa menghadapi pelbagai keadaan yang sangat berlawanan dan bertentangan kuat pula dengan kenyataan dan kebenaran bahasa negara.

Dalam tempoh yang panjang menjangkau 70 tahun, sewajarnya rakyat khususnya golongan muda daripada sektor bukan Melayu yang melalui sistem pendidikan kebangsaan menguasai bahasa Melayu dengan baik. Namun, hakikatnya berlaku sebaliknya.

Hal ini adalah serius sekali sehingga dititahkan Ketua Negara Ke-17 pada kesempatan pertama sebaik sahaja menaiki takhta pada awal 2024. Namun titah itu tidak pun diendahkan secara serius untuk diambil langkah signifikan oleh sesiapa pun, termasuklah kerajaan sendiri.

SENGAJA SEMBUNYI KELEMAHAN
Bukan sahaja amat memalukan apabila masih terdapat rakyat yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, waima dalam bentuk jelik. Ia juga adalah persoalan kenegaraan tentang erti kerakytaan yang dipegang mereka ini. Selanjutnya ia sangat memalukan apabila dibandingkan dengan warga asing yang baharu datang untuk bekerja di negara ini.

Tidak keterlaluan langsung untuk dikatakan gelaja ini sengaja disembunyikan dan tidak cuba diselesaikan semua pihak. Baik oleh kepimpinan Cina misalnya ataupun kerajaan secara keseluruhannya.

Dengan tiadanya apa-apa jua langkah signifikan diambil untuk menangani masalah linguistik ini, tidak salah dikatakan kita semua sengaja mahu menyembunyikan keadaan kenegaraan yang bukan sahaja amat memalukan. Juga yang sangat memudaratkan.

Sudah tentu kepimpinan Cina antaranya, tidak sesekali mahu berbicara tentang masalah ini. Ia kerana mereka mahu mengelak perhatian negatif selain tidak mahu menghadapi kesan buruknya.

Sebenarnya sudah tiba masanya, malah sudah sangat terlambat pun, untuk kerajaan secara keseluruhannya menangani masalah ini. Ia masalah besar sekali sehingga memberi kesan ke atas semangat kebangsaan dan perasaan cintakan negara.

Oleh itu, janganlah dibiarkan faktor bahasa Melayu selaku bahasa negara terus-terusan dikesampingkan dalam ranah kenegaraan. Dalam hal ini, kerajaan wajib menguruskan bahasa Melayu bukan sahaja dengan sangat teratur untuk tujuan kenegaraan, juga dengan tegas sekali.

Ini kerana maju mundur bahasa negara kita terletak pada dukungan kerajaan. Sehubungan ini, akibat dan kesan daripada usaha kerajaan adalah sangat penting terhadap kewujudan bahasa negara kita.

Sesungguhnya keberadaan semasa bahasa Melayu dan kelangsungannya pada kemudian hari sepenuhnya dalam tangan kerajaan.

Sehubungan itu, langkah pertama yang utama ialah melaksanakan pelbagai usaha positif melalui semua institusi kerajaan, sebelum melibatkan pihak swasta dan rakyat jelata.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN