PETALING JAYA: Jurulatih berbasikal trek pelapis negara, Herman Terryn yakin barisan pelumba remaja Malaysia berupaya mencipta sejarah dengan menakluk Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Remaja di Apeldoorn, Belanda dari 20 hingga 24 Ogos ini.
Herman meletakkan harapan tinggi kepada empat pelumba muda menerusi Sawda Hasbullah, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Luqman Haqim Ali Badrun dan Yu Jing Liang untuk membawa pulang pingat tanpa sebarang warna.
“Pelumba menunjukkan kemajuan ketara, terutama pada bulan Julai, dan kami turut berunding dengan pihak sekolah untuk dapatkan lebih masa latihan.
“Umairah dan Sawda kini tidak lagi letih selepas latihan seperti yang berlaku pada Mac hingga Jun, dan kami yakin dengan momentum ini,” kata Terryn kepada Utusan Malaysia.
Sawda yang menjadi pelumba remaja sensasi setakat ini mencipta kejutan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional Nilai pada Februari dengan membawa pulang dua emas serta satu perak sekali gus menjadi sandaran utama negara untuk menyerlah di pentas dunia.
Selain itu pelumba Melaka itu turut mencipta sensasi apabila memecahkan rekod dunia acara ujian masa 1 kilometer (km) dengan catatan 1 minit 10.818 saat (s), sebelum dipadam pelumba Britain, Erin Boothman pada Kejohanan Remaja Eropah di Portugal pada 18 Julai lalu.
Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad Perancis itu percaya skuad kali ini lebih matang dan bersedia, dengan latihan intensif sejak awal tahun memberi impak besar terhadap prestasi mereka.
“Kita tahu kedudukan kita di peringkat dunia sekarang, dan kita meletakkan harapan tinggi, terutamanya kepada Sawda dan Umairah untuk cipta kejutan,” katanya.
Edisi lalu di China, pelumba sensasi wanita negara, Nur Allysa Mohd Farid mara ke final acara keirin sebelum mengalami kemalangan ketika mendahului saingan tersebut. – UTUSAN










