Trio memanah buru ranking dunia di Singapura 

Trio memanah buru ranking dunia di Singapura 

Syaqiera Mashayikh antara pemanah yang akan memikul cabaran Siri Kedua Piala Asia 2025 di Singapura. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trio memanah recurve wanita negara diberi misi penting untuk memburu kedudukan kelompok 10 terbaik dunia dalam Siri Kedua Piala Asia 2025 di Singapura bermula semalam hingga 20 Jun ini.

Skuad negara kali ini menurunkan Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dan Nurul Izzah Mazlan bagi beraksi di lapangan Bukit Gombak, Singapura.

Jurulatih recurve wanita negara, Arif Farhan Ibrahim Putra berkata, kejohanan ini menjadi peluang keemasan untuk melonjakkan kedudukan ranking dunia sebagai syarat menyertai program elit Road to Gold (RTG).

“Sasaran kita di Singapura adalah cuba perbaiki ranking dunia. Kita masih berusaha menembusi kelompok 10 terbaik dunia dan ini adalah medan penting untuk skuad wanita,” kata Arif kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, tiga pemanah utama iaitu Syaqiera, Ariana dan Nurul Azreena Mohamad Fazil disahkan menyertai Program Fast Track dan sedang dinilai bagi kemasukan ke dalam RTG.

Bagaimanapun, Azreena tidak tersenarai ke Singapura kerana pemilihan atlet dilakukan berdasarkan keperluan taktikal semasa pasukan.

Menurut Arif, keputusan senarai akhir pemanah dibuat oleh Ketua Jurulatih Memanah Kebangsaan, Kim Jae Rak mengikut situasi dan strategi terkini pasukan.

“Semuanya bergantung kepada keperluan semasa pasukan dan perancangan ketua jurulatih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN