BERBEKAL pengalaman dibesarkan sebagai anak anggota polis dengan didikan tegas dan berdisiplin, TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN tampil cekal memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Meneruskan budaya menimba ilmu kepolisan daripada ‘orang lama’ serta tunjuk ajar serta pedoman pegawai kanan dan pemimpin terdahulu menjadi pemangkin keyakinan buat Ketua Polis Negara (KPN) Ke-14 itu menghadapi cabaran. Tambahan pula, semangat esprit de corps dalam kalangan rakan setugas menyuntik kekuatan dalam melaksanakan amanah dengan berkesan.
Esok, perkhidmatan beliau tamat selepas dua tahun menerajui pasukan keselamatan itu. Keputusan untuk tidak menyambung kontrak dibuat atas nasihat ibunya, selain berpegang prinsip memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan legasi PDRM.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, MASZUREEN HADZMAN dan NURAINA HANIS ABD. HALIM, beliau berkongsi pengalaman dan usaha sepanjang memimpin PDRM bagi memastikan keamanan, ketenteraman awam dan undang-undang terus dipertahankan.
Wawancara itu turut disertai jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, KAMARUL KAMARUDIN.
PEMBAHARUAN YANG DILAKSANAKAN
Dalam era kepimpinan saya sebagai KPN, saya melihat keperluan untuk memberi tumpuan pembaharuan berteraskan integriti dan rasa tanggungjawab, khususnya kepada masyarakat. Ini bagi memastikan PDRM terus berperanan sebagai pasukan penguatkuasa yang dihormati dalam memelihara undang-undang, ketenteraman serta keselamatan awam.
Kita turut mendukung dan menyokong sepenuhnya dasar kerajaan. Sehubungan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) memainkan peranan penting, dengan merangka dasar bagi memastikan setiap pegawai dan anggota polis memiliki tahap integriti yang tinggi.
Ia di bawah dasar Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) dengan penyelia mesti menyelia anggota bawahan.
Setiap penyelia atau pegawai atasan, dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat paling bawah, bertanggungjawab menyelia dan memberi nasihat kepada anggota di bawah jagaan. Sekiranya terdapat pelanggaran dasar, tindakan tegas akan diambil, termasuk denda, penurunan pangkat, pemotongan gaji, malah hingga ke tahap pemecatan. Kita tidak berkompromi terhadap anggota yang gagal mematuhi etika dan peraturan.
Anggota yang dikenakan tindakan perlu berdepan tempoh ‘iddah’. Maksudnya kalau dia diberi surat nasihat, maka ‘iddahnya’ setahun. Maka, dia tidak boleh pergi interviu, gaji akan terganggu, tidak akan dapat anugerah perkhidmatan cemerlang, tidak boleh menerima apa jua pingat yang dicadangkan untuk pegawai anggota.
Kedua, kita mengadakan perbincangan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan berkaitan kesalahan narkotik termasuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Alhamdulillah, dua pindaan penting telah diluluskan, iaitu Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024, yang akan mula berkuat kuasa pada 30 Oktober 2024.
Melalui pindaan ini, Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan diperkenalkan bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilikan, penyerahan dan penggunaan akaun.
Selain daripada itu, kita menganjurkan advokasi keselamatan jalan raya yang diperluaskan ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama ibu bapa.
Kita menerima banyak aduan berkaitan ketidakpatuhan lampu isyarat, khususnya oleh penunggang motosikal. Tindakan sebegini mencerminkan sikap kurang berdisiplin di mata rakyat sendiri, malah turut memberi tanggapan negatif kepada pelancong, yang mungkin melihat rakyat Malaysia sebagai tidak menghormati undang-undang.
Dalam pada itu, saya juga mahu pastikan PDRM kekal relevan kepada masyarakat terutama dalam era digital.Saya menekankan aspek pendidikan dan menggunakan media untuk memberi kesedaran agar orang ramai tidak terpedaya dengan scammer. Dalam masa sama, kita pastikan siasatan dijalankan secara telus dan pantas bagi membina keyakinan rakyat. PDRM juga komited menjadi rakan strategik kepada semua agensi kerajaan.
Selain itu, PDRM melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) turut melaksanakan operasi berkaitan sisa elektronik (e-waste). Setakat ini, rampasan bernilai sekitar RM5 bilion telah dibuat, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan akan mengenakan kompaun melebihi RM500 juta terhadap syarikat terlibat.
MAHU PDRM DIKENALI DUNIA
Saya mahu PDRM bukan sahaja dikenali di peringkat ASEAN, tetapi juga di persada dunia. Sebagai langkah ke arah itu, saya telah menempatkan empat pegawai dalam Jawatankuasa Kerja Bersama sempena Perhimpunan Agung Interpol, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Pada 2028, Kuala Lumpur disasarkan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Interpol yang melibatkan 169 ketua polis negara. Perkara ini sudah diangkat kepada Menteri Dalam Negeri untuk persetujuan dan kita telah menyatakan hasrat dan emel sudah dihantar kepada Presiden Interpol. Saya memang berharap dengan tindakan ini sekurang-kurangnya banyak negara mengenali PDRM.
HUB PEMBELAJARAN JENAYAH SIBER, NARKOTIK
Saya telah berbincang dengan Australia dan China untuk menjadikan Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, Selangor sebagai pusat pembelajaran jenayah siber dan narkotik. Kita menjemput kedua-dua negara itu sebagai hos dan mereka boleh menggunakan fasiliti maktab. Langkah ini akan membantu PDRM dikenali lebih luas di peringkat antarabangsa.
TANGANI RASUAH, SALAH LAKU
PDRM sentiasa mengutamakan integriti dan ketelusan dalam menjaga keselamatan awam. Antara langkah utama ialah penubuhan JIPS, yang memperkukuh pemantauan dalaman melalui siasatan tatatertib, audit kepatuhan serta pengesanan salah laku dan kelemahan sistem. JIPS berperanan sebagai unit bebas yang memantau secara menyeluruh dan berterusan tanpa terikat pada struktur operasi sedia ada.
Untuk memperkukuh pemantauan disiplin, PDRM membangunkan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD), sebuah sistem digital yang memantau tahap disiplin termasuk 164 individu yang dibuang kerja. Ini menunjukkan PDRM tegas menangani salah laku tanpa bersembunyi, dengan menekankan kebertanggungjawaban dan tindakan tegas.
Sebagai lanjutan Pelan Antirasuah PDRM (PAPDRM) 2024-2025, PDRM merangka Pelan Pencegahan Rasuah (PPRPDRM) baharu yang menumpukan pembudayaan integriti, pencegahan rasuah bersasar dan pembangunan kawalan dalaman yang kukuh. Pelan ini bukan sahaja membetulkan amalan lama, malah menanam budaya kerja berintegriti dalam kalangan warga PDRM.
Untuk memperkukuh penglibatan orang awam, PDRM memperkenalkan Aplikasi Aduan JIPS, platform mudah alih yang membolehkan masyarakat melaporkan salah laku anggota secara terus, selamat dan tanpa perlu ke balai polis. Ini menunjukkan keterbukaan PDRM dan komitmen tinggi terhadap ketelusan.

TINGKAT HUBUNGAN MASYARAKAT-POLIS
Hubungan erat antara PDRM dan masyarakat amat penting untuk membina kepercayaan, kerjasama dan keselamatan bersama.
Ini dilakukan melalui Program Kepolisan Komuniti dengan memperbaiki dan memperluaskan inisiatif seperti Amanita (Peace Lady), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Program Bertemu Pelanggan.
Kerjasama setempat juga diperkasa dengan melibatkan ketua kampung, imam, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merancang rondaan dan ceramah keselamatan.
Hubungan ini terus diperkukuh melalui komunikasi dua hala yang terbuka, termasuk saluran aduan mesra seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan orang ramai membuat aduan dan mendapatkan maklumat.
Sesi dialog berkala antara pegawai polis dan penduduk setempat dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan polis.
Anggota polis juga dilatih agar lebih mesra, empati dan profesional dalam berinteraksi dengan orang awam, sambil menguatkan integriti, etika kerja dalam latihan serta budaya organisasi.
Anggota polis berperanan sebagai pemangkin perpaduan dan keharmonian sosial dalam masyarakat majmuk, dengan menjadi contoh saling menghormati antara kaum dan agama.
Mereka juga menjaga ketenteraman awam dengan menangani provokasi perkauman dan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian negara.
Selain itu, polis bertindak sebagai pendidik dan penasihat, menjalankan kempen pencegahan jenayah, keselamatan jalan raya, bahaya dadah dan penipuan dalam talian selain menjadi rujukan utama masyarakat dalam memahami undang-undang serta melindungi diri.
Oleh itu, PDRM perlu menjadi rakan strategik komuniti melalui program Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela, kerjasama NGO dan inisiatif komuniti lain.
CARA PALING BERKESAN KURANGKAN JENAYAH
Antara 10 Jun 2023 hingga 10 Jun 2025, sebanyak 57,703 kes jenayah indeks direkodkan, meningkat sedikit dengan 790 kes (1.4 peratus) berbanding 56,913 kes tahun sebelumnya (10 Jun 2023 hingga 9 Jun 2024). Peningkatan ini disebabkan jenayah harta benda seperti curi motosikal, pecah rumah, dan samun tanpa senjata.
Pertama sekali, penguatkuasaan undang-undang tegas dan berkesan adalah asas utama membanteras jenayah, termasuk hukuman berat dan pemantauan pelaku untuk pencegahan awal. Pendekatan proaktif juga penting, terutamanya dalam jenayah komersial dan dadah, melalui kerjasama dengan institusi kewangan dan penguatkuasaan antarabangsa.
Selain itu, kehadiran polis yang konsisten di lapangan melalui rondaan unit kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) membantu mencegah jenayah seperti ragut dan pecah rumah dengan pendekatan cegah awal yang berkesan.
Dalam jenayah dadah, pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan, rawatan, pemulihan, pendidikan dan penyelidikan saintifik amat penting. Kerjasama PDRM dengan IPT seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikan dadah sintetik baharu menunjukkan usaha berterusan ke arah meningkatkan kepakaran dan mencari penyelesaian saintifik terhadap ancaman dadah.
Oleh itu, kejayaan jangka panjang dalam mengurangkan jenayah bergantung pada pembangunan sumber manusia yang beretika, berdedikasi dan berintegriti. Walaupun teknologi dan dasar penting, kejayaan sebenar terletak pada keupayaan manusia, maka pembangunan modal insan perlu diutamakan.
Akhir sekali, kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, sektor swasta, NGO, institusi pendidikan, pemimpin komuniti dan masyarakat penting dalam memperkukuh keselamatan. Ini termasuk pelaksanaan polis komuniti, VSP, sesi dialog rakyat, program Amanita dan penglibatan aktif masyarakat sebagai mata dan telinga PDRM.
Dalam masa sama, PDRM menyalurkan maklumat sahih dan terkini melalui pelbagai media massa. Tindakan pembetulan fakta menjadi mekanisme utama untuk menangkis maklumat palsu, provokasi dan manipulasi.
KEPENTINGAN KAMERA BADAN, KECERDASAN BUATAN
Mulai Julai 2024, PDRM melaksanakan penggunaan kamera badan (BWC) secara berperingkat. Sejak Mei lalu ia digunakan sepenuhnya di semua Ibu Pejabat Daerah dan balai polis terpilih. Sebanyak 6,748 unit BWC diagihkan, dengan garis panduan jelas dikeluarkan KPN pada 7 Februari 2025.
Penggunaan BWC terbukti memperkukuh integriti dan ketelusan tugas barisan hadapan PDRM. Rakaman berterusan melindungi pegawai daripada dakwaan tidak berasas serta menjadi bukti sah dalam siasatan dan pendakwaan, sekali gus meningkatkan akauntabiliti anggota.
Namun, pelaksanaan teknologi ini perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab, beretika dan mematuhi undang-undang serta prinsip hak asasi manusia.
Isu privasi dan risiko penyalahgunaan teknologi diberi perhatian serius. Oleh itu, pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dan pengawasan digital dikawal ketat dengan kerjasama pakar teknologi, IPT serta agensi berkaitan.
PDRM juga memperkukuh latihan pegawai dan anggota supaya bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi mampu mengurus data, sistem secara profesional, selamat dan bertanggungjawab.
Jadi, penggunaan kamera badan dan AI bukan untuk menggantikan peranan manusia, tetapi melengkapkan serta menyokong tugas polis supaya lebih cekap, tepat dan berkesan.
MASIH DIPERCAYAI RAKYAT
Kepercayaan masyarakat terhadap PDRM masih kuat, terbukti dengan lebih 35,000 permohonan untuk mengisi 500 kekosongan jawatan konstabel. Jika PDRM tidak relevan, mengapa mereka tetap memilih kerjaya ini sedangkan banyak pilihan lain? Keyakinan rakyat juga dapat dilihat dari pengurusan jenayah.
Saya membentangkan taklimat berkenaan jenayah dalam majlis-majlis raja, kita lihat sebanyak 70 peratus kes berjaya diselesaikan daripada 10 kejadian.
KES TERBESAR SEPANJANG DUA TAHUN SEBAGAI KPN
Isu melibatkan 3R (agama, bangsa, dan raja). Saya pantau setiap minggu dengan memastikan siasatan selesai dalam tujuh hari dan laporan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, kecuali jika menerima arahan tertentu yang memerlukan tempoh antara tiga hingga empat hari bagi mengesahkan siasatan.
Selain itu, kes berkaitan akidah seperti ajaran sesat oleh GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
‘HUTANG’ KES
Kes tembak mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim masih belum dapat diselesaikan. Selain itu kes melibatkan tiga pemain bola sepak negara di Terengganu (Akhyar Rashid), Johor (Safiq Rahim) dan Selangor (Faisal Halim).
Terdapat juga kes tembak menembak antara gengster di Kuala Lumpur dengan kartel dadah yang berebut kuasa atau kawasan serta kes penjualan dadah tiruan. Kes-kes ini sudah berlaku agak lama.
REZEKI TIDAK TERDUGA
Diberi mandat besar menerajui PDRM selama dua tahun merupakan rezeki tidak terduga, datang dengan amanah yang cukup berat bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM.
Hala tuju pasukan ini adalah memberi perkhidmatan bertunjangkan integriti, tata kelola yang baik selain mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan buat barisan kepimpinan tertinggi serta seluruh warga pasukan atas kepercayaan, sokongan padu, kegigihan serta kesepakatan yang diberi terhadap setiap perkara yang direncana demi mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam.
Terima kasih juga atas penugasan yang ikhlas, jujur dan berintegriti. Sesungguhnya hanya Allah jua yang layak membalas pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan.
HARAPAN
Kerajaan perpaduan mampu memimpin, memajukan dan meningkatkan ekonomi negara sambil mendapat kepercayaan masyarakat tempatan dan negara luar. Oleh itu, PDRM perlu memperkukuh ulil amri (pemimpin). Mana-mana ulil amri yang melanggar prinsip Islam, tatasusila, tatatertib atau undang-undang harus dikenakan tindakan tegas atau dalam bahasa moden hari ini ‘disailang’.
Mereka perlu sentiasa membawa idea baharu mengikut perkembangan semasa agar tidak ketinggalan.
Contohnya, dalam penggunaan AI, jika dibandingkan dengan China, kita mungkin ketinggalan 15 tahun kerana tidak fokus kepada teknologi ini lima tahun lalu. Kita baru bermula tahun lepas dan masih dalam projek menuju AI.
Selain itu, pengganti saya perlu responsif terutama kepada media kerana ia melibatkan isu masyarakat. Maklumat harus disampaikan kepada media dan media pula perlu adil dalam penulisan untuk memaklumkan perkembangan siasatan. Ini menunjukkan PDRM bekerja untuk masyarakat dengan adil.-UTUSAN










