PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) belum memuktamadkan senarai akhir pemain menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Ketua jurulatih SFC, Katsuhito Kinoshi mengakui skuad kendaliannya masih dalam proses pembentukan meskipun beberapa muka baharu telah dibawa masuk.
“Kita perlukan masa. Saya tidak boleh komen banyak kerana senarai rasmi masih belum diumumkan lagi. Ada banyak perkara yang perlu diberi perincian,” kata Kinoshi.
Beliau turut memberi bayangan bahawa jendela perpindahan masih terbuka untuk sebarang kemungkinan termasuk kehadiran pemain import baharu.
“Bola sepak ini penuh dengan kejutan dan semestinya semua menjadi lebih baik sekiranya selesai awal.
“Kita akan dapat tahu hasil sebenar selepas jendela perpindahan ditutup nanti,” katanya.
SFC setakat ini sudah mengikat Picha Autra dari Thailand dan mengekalkan Noor Al-Rawabdeh serta Mohamad Abualnadi dalam senarai utama.
Nama penyerang Brazil, Chrigor Moraes turut disebut-sebut bakal menyertai Red Giants selepas meninggalkan kancah Liga Thailand. – UTUSAN










