HARI ini umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah. Oleh kerana hari raya korban pada tahun ini jatuh pada hujung minggu, maka lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang pulang beraya serta melaksanakan ibadat korban di kampung halaman.
Sesungguhnya, hidup di dunia menuntut manusia melakukan banyak pengorbanan. Sama ada secara sedar atau tidak dan secara rela atau terpaksa, kita berkorban demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Tatkala membuat pilihan, kita terpaksa mengorbankan pilihan yang lain, yang mana ada kalanya hal itu tidak mudah. Namun, seperti kata pepatah Inggeris, ‘you cannot have your cake and eat it too’ (kita tidak boleh mendapatkan semua pilihan yang dimahukan pada waktu yang sama).
Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan. Lebih besar apa yang dihajatkan, maka lebih kuat lagi usaha dan pengorbanan yang perlu kita lakukan. Malah, pengorbanan yang dilakukan itulah yang menjadikan kita lebih kuat dan matang serta lebih menghargai kejayaan yang dicapai.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Justeru, jika ada yang beroleh kejayaan atau keuntungan besar secara tiba-tiba tanpa perlu bersengkang mata memerah otak dan keringat, maka ia dilihat sebagai sesuatu yang sangat luar biasa, bagai bulan jatuh ke riba.
Ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan dan kebahagiaan anak-anak selain berusaha menyediakan kehidupan yang terbaik untuk mereka. Jika sedang menghadapi masalah kewangan, ibu bapa sanggup berlapar asalkan anak-anak dapat menjamah makanan.
Pada sudut lain, tidak kurang anak-anak yang sanggup berkorban masa dan tenaga menjaga orang tua yang uzur dengan penuh kasih sayang. Dalam keluarga yang besar, abang dan kakak yang bekerja sanggup mengorbankan wang ringgit bagi membantu membiayai perbelanjaan pendidikan adik-adik mereka.
Para pendidik pula berkorban ibaratkan lilin membakar diri. Bayangkan pengorbanan mereka yang mengajar di kawasan pendalaman terpencil yang sukar dicapai dan terpaksa meredah jalan berselut yang sempit dan air banjir di musim tengkujuh.
Negara ini tidak terbina dengan sendirinya. Sebaliknya ia dibina atas keringat dan air mata para pemimpin serta pejuang terdahulu yang berkorban harta mahupun nyawa demi negara tercinta. Hakikatnya, biarpun tanpa sistem pilihan raya, negara kita makmur dan rakyat hidup sejahtera di bawah sistem pemerintahan raja-raja Melayu.
Mungkin ramai tidak menyedari dalam menubuhkan negara persekutuan ini, pengorbanan paling besar datangnya daripada raja-raja Melayu. Raja-raja sanggup mengorbankan sebahagian kuasa dan tanah milik negeri-negeri baginda kepada kerajaan pusat bagi membentuk sebuah negara baharu.
Itulah pengorbanan sebenar yang tidak ternilai harganya. Kesemuanya ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bukannya untuk mendabik dada atau untuk dicanang-canangkan.Ia lahir daripada rasa tanggungjawab, kasih-sayang, belas-kasihan serta perasaan ihsan sesama manusia. Semua ini tidak dilakukan dengan niat untuk menuntut balasan.
Hari ini, pemimpin politik mengharapkan undi rakyat untuk memegang tampuk pemerintahan. Tatkala berkempen, mereka berjanji sanggup berkorban demi membela nasib rakyat dan negara.
Namun, setelah memenangi pilihan raya, ada wakil rakyat yang lupa janji mereka sehinggalah menghampiri tarikh pilihan raya seterusnya. Ungkapan pengorbanan yang dilaungkan mungkin sekadar umpan untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Hakikatnya, tidak ramai yang benar-benar sanggup berkorban untuk menaikkan martabat rakyat. Lebih mengecewakan apabila ada yang lebih sibuk berpolitik daripada turun ke lapangan bekerja bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Ke manakah perginya janji untuk membela nasib rakyat? Apakah perancangan bagi memastikan golongan terpinggir di kawasan mereka terbela dan diangkat supaya dapat bersaing dengan orang lain?
Bukankah wakil rakyat masih mempunyai tanggungjawab kepada pengundi biarpun tidak berjawatan dalam kerajaan? Mereka menikmati gaji lumayan dan pelbagai kemudahan sebagai imbuhan untuk melaksanakan tugas yang sepatutnya mereka jalankan.

KEKECEWAAN ANAK MUDA
Landskap politik yang sentiasa bergolak sememangnya memenatkan. Ramai dalam kalangan generasi Z kecewa menyaksikan permainan politik tidak sihat yang semakin menjadi-jadi. Sehinggakan ramai menyimpulkan politik itu sangat kotor dan menjijikkan.
Generasi Z lebih menilai mutu perkhidmatan pemimpin yang menang, termasuk dalam kalangan pembangkang termasuk suara siapa yang lebih lantang. Kami kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang lebih mementingkan diri sendiri berbanding nasib rakyat yang mereka wakili.
Ahli politik tidak perlu memainkan emosi kami dengan bermacam-macam versi cerita yang ditularkan penyokong mereka.
Bayangkan di saat-saat kami sedang bergelut menghadapi ujian, menyiapkan pelbagai tugasan dan pembentangan, tiba-tiba kami turut terheret sama dan terpaksa menonton sebuah lagi siri drama politik.
Walhal, merekalah yang sepatutnya menunjukkan sifat matang dan memberi teladan yang baik kepada anak muda tentang pengorbanan kepada negara dengan mengelakkan keadaan bergolak. Tidak semua perkara yang kita rancangkan akan terlaksana dengan sempurna.
Tiga minggu yang lalu saya berada di Prague, Republik Czech bagi menghadiri sebuah persidangan dan selepas itu saya menghadiri satu lagi persidangan di Bogotá, Colombia. Oleh itu, saya tidak berada di tanah air ketika isu ini sedang meledak hangat di media sosial.
Membaca suapan berita dan mesej daripada teman-teman tentang hal ini, saya mendoakan agar keadaan politik tanah air kekal stabil. Kita mengharapkan tindakan yang bijaksana daripada semua pihak yang terbabit dalam menangani keadaan ini.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha serta selamat melakukan ibadah korban. Semoga kita diberikan kebijaksanaan dan beroleh kebaikan daripada segala pengorbanan yang telah dan akan dilakukan serta dilindungi daripada melakukan pengorbanan yang sia-sia dan memudaratkan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










