PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos, mengakui dia mengetahui ‘rahsia’ pasukan Vietnam menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang seteru serantau itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Endrick, 30, kini dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada kelab Ho Chi Minh City, telah menimba pengalaman hampir setahun dalam saingan liga divisyen satu Vietnam, sekali gus memberinya kelebihan memahami corak permainan pasukan Naga Emas itu.
Kini, perancang kelahiran Brazil itu sedia untuk membantu pasukan untuk menamatkan badi badi 11 tahun tanpa kemenangan menentang seteru Asia Tenggara itu selepas kali terakhir menang pada tahun 2014.
Malah, pemain kelahiran Brazil itu yakin pengetahuannya tentang kekuatan dan kelemahan pasukan lawan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kem kebangsaan yang kini dibimbing oleh Peter Cklamovski.
“Kami juga ada pakar analisis yang mengkaji corak permainan pasukan lawan. Kita akui kelebihan utama pasukan lawan adalah mereka pantas, kuat dan agresif, tetapi mereka juga ada kelemahan.
“Buat masa sekarang, kami berlatih bersungguh-sungguh, ikut perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih. Saya yakin pasukan kini dalam kedudukan yang baik untuk meraih keputusan yang diharapkan,” katanya.
Kali terakhir skuad negara menang ke atas Vietnam ketika aksi separuh akhir Piala ASEAN 2014 yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Dollah Salleh dengan keputusan 4-2.
Namun, lapan aksi kompetitif berikutnya berakhir dengan tujuh kekalahan dan satu seri ke atas Vietnam yang kini menduduki ranking ke-109 dunia.
Harimau Malaya dijangka mampu mengatasi badi tersebut apabila skuad kebangsaan turut dibarisi dengan kehadiran lima pemain warisan baharu iaitu Immanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces. – UTUSAN










