Negara akan hilang bakat jika sistem pendidikan masih di takuk lama

Negara akan hilang bakat jika sistem pendidikan masih di takuk lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, tersebar laporan berita mengenai aduan seorang pelajar sekolah menengah yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana kejayaannya tidak mendapat pengiktirafan di peringkat sekolah.

Menurut laporan tersebut, pelajar berkenaan meraih kemenangan dalam sebuah pertandingan bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Meskipun kejayaan tersebut mendapat sambutan dan penghargaan daripada ibu bapa, rakan-rakan serta guru di sekolah, namun, penyertaan dan pencapaiannya itu tidak diiktiraf untuk pemberian markah kokurikulum di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Pelajar berkenaan meluahkan rasa kecewa apabila pencapaian yang amat besar maknanya seolah-olah tidak diendahkan dalam sistem penilaian sedia ada. Situasi ini memberi gambaran hanya kejayaan yang dicapai dalam lingkungan sekolah sahaja yang diberikan pengiktirafan.

Justeru, dikhuatiri hal ini akan menyebabkan pelajar tawar hati untuk berusaha mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi dan mencabar.

Sebagai seorang pelajar yang banyak terlibat dalam kegiatan akademik di luar universiti, termasuk menghadiri jemputan dalam program antarabangsa di luar negara, saya faham hakikat yang ramai pelajar sukar mendapat pengiktirafan institusi bagi kejayaan yang dicapai.

Lebih mengecewakan, bukan sahaja penyertaan dalam persidangan antarabangsa tidak diiktiraf untuk pemberian merit universiti, malah dua anugerah berprestij peringkat antarabangsa yang dimenangi turut tidak diambil kira.

Isu ini pernah dibincangkan bersama Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Aslam Haneef, pada bulan lalu.

Baru-baru ini, saya menerima jemputan untuk menghadiri dan membentangkan kertas kerja akademik dalam sebuah persidangan pendidikan antarabangsa di Colombia, dan dua minggu sebelum itu, saya turut dijemput ke sebuah lagi persidangan di Republik Czech.

Meskipun mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa namun, sumbangan ini tidak diiktiraf dalam bentuk markah kokurikulum di peringkat universiti memandangkan secara konvensional, pencapaian seumpama ini jarang dicapai pelajar siswazah dan oleh itu tidak termasuk dalam kategori penilaian sedia ada.

Biarpun Aslam dan pihak pentadbiran UIAM tidak pernah menafikan tahap penglibatan saya, apatah lagi memperkecilkan usaha yang dicurahkan, namun malangnya sistem pendidikan kita masih bersifat agak kaku dan belum cukup terbuka untuk mengiktiraf pencapaian di luar kerangka kegiatan konvensional.

Namun, hal ini seharusnya tidak menjadi penghalang untuk kita terus berusaha gigih demi mengharumkan nama negara.

Benar, markah kokurikulum sering diberi penekanan di peringkat sekolah dan universiti, namun kejayaan sebenar tidak seharusnya diukur semata-mata melalui markah atau gred. Hakikatnya, pengiktirafan terhadap sesuatu pencapaian hadir dalam pelbagai bentuk, jauh melangkaui angka dan penilaian formal.

Di universiti, ramai yang mungkin menyangka saya memperoleh markah kokurikulum yang tinggi berdasarkan penglibatan aktif. Namun hakikatnya, markah yang saya kumpulkan hanyalah sekitar separuh daripada jumlah yang biasa diperoleh oleh pelajar aktif lain.

Hal ini berlaku kerana kebanyakan aktiviti yang disertai tidak termasuk dalam skop kokurikulum yang ditetapkan, meskipun ia merupakan program profesional yang dianjurkan oleh universiti sendiri.

Sebagai contoh, menghadiri pementasan teater pelajar di universiti melayakkan saya menerima markah kokurikulum. Namun, ketika menghadiri majlis syarahan ilmiah yang disampaikan Rektor universiti sendiri atau mewakili universiti dalam program-program penting Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tiada markah kokurikulum diberikan.

Ironinya, aktiviti berimpak besar seperti ini tidak diiktiraf dalam sistem penilaian sedia ada.

Benar, ilmu dan pencapaian hakiki jauh lebih bermakna dalam kehidupan sebenar, khususnya dalam dunia kerjaya di luar tembok institusi pendidikan. Namun begitu, pada masa sama, para pelajar tetap perlu berusaha lebih gigih untuk mengumpul markah kokurikulum yang mencukupi demi layak menerima sijil kepujian.

Tekanan inilah yang menyebabkan ramai pelajar lebih cenderung mengejar angka dan perangkaan semata-mata, tanpa berusaha melangkaui batas skop yang konvensional. Meskipun ada dalam kalangan mereka yang berkeupayaan untuk menyumbang lebih jauh di luar lingkungan institusi pengajian, kebanyakan tetap memilih aktiviti yang menawarkan markah atau merit, kerana itulah yang dianggap keutamaan dalam sistem sedia ada.

Bayangkan mereka yang telah bertungkus-lumus sehingga berjaya mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, terpaksa pula menghabiskan lebih banyak masa untuk mencukupkan markah kokurikulum jika kejayaan mereka itu tidak termasuk dalam skop yang ditetapkan.

 

KEJAYAAN sebenar tidak seharusnya diukur semata-mata melalui markah atau gred, sebaliknya ia hadir dalam pelbagai bentuk, jauh melangkaui angka dan penilaian formal.

BERUBAH
Saya juga kadang kala ralat melihat layanan tidak seimbang yang diberikan kepada mereka yang terpilih mewakili negara di bidang berlainan. Sebagai contoh, pelajar yang menyertai pertandingan sukan di peringkat antarabangsa lazimnya lebih dihargai berbanding mereka yang menyertai pertandingan di bidang perundangan seperti pertandingan moot atau rundingan perundangan. Sedangkan kesemua mereka terpaksa berusaha keras dan sama-sama mewakili negara.

Saya tidak berniat untuk meremehkan perjuangan orang lain, tetapi kerajaan juga harus memberi perhatian yang lebih besar untuk membangunkan bakat intelektual secara lebih menyeluruh. Semuanya harus diberikan peluang secara adil, khasnya dari segi tajaan dan sokongan lainnya.

Sistem pendidikan kita perlu berubah ke arah yang lebih terbuka dan menyeluruh bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat bagi memacu negara serta memartabatkan maruah bangsa.

Saya pasti KPM sedang menuju ke arah ini dengan silibus baharu, begitu juga dengan usaha KPT dalam Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035. Namun, tiada kejayaan yang boleh dicapai tanpa usaha keras daripada semua pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan seluruh masyarakat.
Sebaik mana pun dasar yang dirangka, ia tidak akan membuahkan hasil jika ada pihak yang berkeras mahu mengekalkan cara lama.

Kita harus bersikap terbuka menerima perubahan dan berani melangkah menerokai jalan baharu yang lebih efektif serta sesuai dengan cabaran dan kehendak semasa.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN