PETALING JAYA: Meskipun merupakan tugasan pertama di peringkat antarabangsa namun pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara Nafuzi Zain tetap berani meletakkan separuh akhir kejohanan Piala ASEAN B-23 di Jakarta, Indonesia, bulan depan sebagai sasaran utama.
Jelasnya, pasukannya akan memberi tumpuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan terutama aksi penting pada aksi pertama Kumpulan A menentang Filipina, 15 Julai ini.
Beliau turut mengakui tidak mempunyai banyak maklumat berkaitan pasukan Filipina, sekali gus perancangan rapi perlu dilakukan dalam usaha meraih tiga mata pertama pada kejohanan tersebut.
“Ini kejohanan pertama saya di peringkat antarabangsa selepas sebelum ini bersama pasukan kelab. Sudah pasti kelab dengan pasukan kebangsaan berbeza. Memang sasaran utama kita untuk ke final, tapi bagi situasi sekarang kita lebih fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Perlawanan yang penting kita berdepan Filipina pada aksi pertama, selepas itu menentang Brunei dan cabaran yang sukar apabila kita menghadapi Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan.
“Jadi kita meletakkan layak ke separuh akhir adalah sasaran utama kita, iaitu melepasi saingan peringkat kumpulan. Pada aksi separuh akhir itulah akan memberi ruang untuk kita ke final,” katanya.
Bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu itu, berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain B-23 yang mana memanggil 30 pemain bagi kem latihan pusat yang akan bermula, Selasa ini.
Berdasarkan senarai itu, Nafuzi memanggil majoriti pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor II iaitu 12 pemain Harimau Selatan dan lapan pemain Gergasi Merah dalam senarai itu.
Nafuzi turut menyenaraikan beberapa pemain yang pernah bersama skuad senior kebangsaan termasuk Ubaidullah Syamsul Fazili, Fergus Tierney dan Haqimi Azim Rosli.
Beliau berharap gabungan pemain berpengalaman dengan pemain baharu dapat membentuk pasukan terbaik bagi memastikan misi skuad B-23 tercapai di Jakarta.
“Saya harap dengan pengalaman mereka dan digabung bersama pemain baharu dapat membentuk persefahaman serta gandingan yang baik seterusnya memberi impak besar buat pasukan,” ujarnya. – UTUSAN










