PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya telah mempunyai perancangan lebih awal berkenaan penganjuran Pestabola Merdeka bukannya masih berteka-teki sama ada diadakan atau tidak.
Kejohanan tersebut adalah pertandingan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia dan ia telah sinonim seperti mana Thailand mempunyai pertandingan Piala Raja Thailand.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, sepatutnya kejohanan Pestabola Merdeka perlu dianjurkan secara tahunan kerana ia cukup sinonim dengan ulang tahun kemerdekaan negara.
Jelasnya, kejohanan ini perlu dijaga prestijnya dengan menjemput pasukan-pasukan terbaik dunia supaya ia mampu membawa kebaikan kepada bola sepak negara.
“Bagi saya Pestabola Merdeka perlu dianjurkan kerana ia sinonim dengan sambutan kemerdekaan negara kita pada 31 Ogos. Mungkin ada yang menyifatkan masa itu sudah berlalu maka kejohanan seperti ini dipinggirkan tetapi jangan dilupakan ia antara platform terbaik untuk bola sepak kita.
“Kejohanan ini telah dikenali sejak dahulu lagi tetapi mula dilupakan. Jadi untuk itu, mungkin penganjur FAM atau mana-mana pihak yang terlibat perlu mencari jalan bagi memastikan kejohanan ini terus mendapat sambutan dengan menjemput pasukan-pasukan terbaik.
“Mungkin ia juga boleh dijadikan platform untuk kita membina skuad pelapis kita tetapi pemilihan pemain dan pasukan lawan juga janganlah ‘tangkap muat’ bagi menjaga prestij kejohanan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan FAM harus cuba sedaya upaya untuk kembali meningkatkan kegemilangan Pestabola Merdeka agar tidak menjadi kejohanan ‘syok sendiri’.
Penyertaan skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 mencetuskan tanda tanya tentang penganjuran Pestabola Merdeka 2025.
CAFA 2025 yang melibatkan penyertaan lapan pasukan ternama di Asia termasuk Iran dan Uzbekistan itu bakal berlangsung pada Ogos dan September ini iaitu tarikh lazim penganjuran Pestabola Merdeka.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum memberi sebarang kata putus berhubung penganjuran kejohanan bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang kembali ‘dihidupkan’ semula dua tahun lalu itu.
Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan sejak dua tahun lalu bermula 2023 selepas kali terakhir diadakan pada 10 tahun lalu.
Pada 2023, Tajikistan muncul juara selepas menewaskan Harimau Malaya di pentas final sebelum tahun lalu menyaksikan Malaysia kembali bergelar juara dengan menewaskan Lubnan 1-0 di final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk rekod, kejayaan tahun lalu adalah gelaran ke-13 selepas 43 edisi sejak kali pertama dianjurkan pada 1957 di mana saingan Pestabola Merdeka dianggap sebagai antara kejohanan tertua di benua ini. – UTUSAN









