Tajikistan, Lubnan dan Filipina sertai Pestabola Merdeka

Tajikistan, Lubnan dan Filipina sertai Pestabola Merdeka

HARIMAU Malaya akan berdepan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tajikistan, Lubnan dan Filipina akan menyertai Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Tajikistan yang muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 berada di ranking 102 dunia, manakala Lubnan dan Filipina masing-masing menghuni tangga ke-117 dan 147 dunia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata,Pestabola Merdeka 2024 akan dilangsungkan ketika kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu antara 2 hingga 10 September ini.

Beliau berkata, empat pasukan terbabit akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu separuh akhir satu dan dua.

“Perlawanan kedua pula membabitkan final yang menemukan pemenang separuh akhir satu dan dua serta penentuan tempat ketiga antara dua pasukan yang kalah pada aksi separuh akhir.

“Ini kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun. Kali terakhir ia diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008 sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023.

“FAM berharap penyokong Harimau Malaya dapat bersama memeriahkan lagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 dengan hadir ke SNBJ memandangkan Edisi Ke-43 ini berlangsung ketika Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada edisi ke-42, tahun lalu yang turut berlangsung di SNBJ menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan India 4-2 pada separuh akhir, namun sekadar muncul naib juara selepas tewas kepada Tajikistan dalam aksi final.

Tajikistan yang juga pasukan pengganti selepas Lubnan menarik diri, layak ke final secara ‘bye’ selepas lawan mereka di separuh akhir, Palestin juga terpaksa menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur susulan situasi tegang di negara berkenaan ketika itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×