Apa nasib Pestabola Merdeka tahun ini?

Apa nasib Pestabola Merdeka tahun ini?

Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Lubnan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Pestabola Merdeka tahun ini wajar diadakan kerana kejohanan berkenaan baharu sahaja ‘dihidupkan’ kembali selain status Malaysia sebagai juara bertahan.

Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan dua tahun lalu selepas kali terakhir diadakan pada 10 tahun lepas dengan edisi 2023 dimenangi Tajikistan manakala pada 2024, Malaysia kembali bergelar juara.

Kemenangan 1-0 ke atas Lubnan tahun lalu menyaksikan Malaysia meraih gelaran ke-13 selepas 43 edisi sejak kali pertama dianjurkan pada 1957 di mana saingan Pestabola Merdeka dianggap sebagai antara kejohanan tertua di benua ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Ab Karim berkata, jika skuad utama Harimau Malaya tidak boleh menyertai kejohanan tersebut, maka skuad Bawah 23 (B-23) wajar diberikan peluang.

“Kita tahu Harimau Malaya pada Ogos dan September ini akan menyertai Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, jadi kemungkinan Pestabola Merdeka tidak dianjurkan.

“Jika pendekatan sebegitu diambil, saya rasa amat rugi kerana kita masih ada skuad B-23 yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain yang boleh mengambil bahagian dan membaca cabaran Malaysia dalam kejohanan itu.

“Sejarah Pestabola Merdeka sangat besar dan kita baru sahaja hidupkan kembali dalam tempoh dua tahun terdekat ini. Kejohanan ini juga sinonim dengan Malaysia dan paling ‘tua’ di pentas Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penganjuran kejohanan Pestabola Merdeka menjadi tanda tanya selepas Harimau Malaya yang dikendalikan Peter Cklamovski bakal menyertai CAFA 2025 pada Ogos dan September depan.

Tambah Zulakbal, peluang wajar diberikan kepada skuad B-23 kerana pasukan kendalian Nafuzi boleh menjadikan Pestabola Merdeka sebagai persiapan sebelum ke Sukan SEA 2025 pada Disember depan di Thailand.

Ketika ini, skuad B-23 dalam proses pembentukan dan semalam, Nafuzi mengumumkan senarai 30 pemain yang menyertai kem latihan untuk persiapan menghadapi kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, bulan depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN