PETALING JAYA: Kontinjen powerlifting negara mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Dunia 2025 di Beijing, China apabila mengutip satu emas dan dua gangsa.
Emas disumbangkan oleh jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menerusi kategori lelaki 72 kilogram (kg) setelah beraksi di China Administration of Sports for Persons with Disabilities (CASPD).
Dua gangsa pula masing-masing diperolehi daripada Bryan Gustin bagi kategori atas 88kg dan Nicodemus Manggoi, atas 97kg.
Pencapaian Bonnie itu bagaimanapun jauh daripada rekod dunia miliknya iaitu 232 kg yang dicatat ketika mempertahankan pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Mengulas lanjut, jurulatihnya, Mohammad Shahibullah Ambi berkata, jumlah angkatan tersebut telah dirancang lebih awal bagi memberi laluan kepada Bonnie untuk ‘simpan tenaga’ bagi menghadapi Kejohanan Powerlifting Para Dunia dekat Mesir, 10 hingga 18 Oktober ini.
“Angkatan 215kg memang dirancang awal. Bukan sebab cedera. Pencapaian dia akan diperbaiki, insya-Allah di kejohanan dunia dekat Mesir pada Oktober nanti,” kata Shahibullah.
Terdahulu, atlet berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan bahu kiri ketika beraksi di temasya Paralimpik Paris pada September tahun lalu. – UTUSAN










