KUANTAN: Seorang usahawan hartanah menyatakan minat membeli Sri Pahang FC demi memastikan skuad Tok Gajah terus berjuang dalam liga bola sepak negara.
Sehingga ini status skuad kendalian jurulatih, Fandi Ahmad dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M) masih menjadi tanda tanya selepas pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk berundur.
Pengerusi NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, beliau akan membuat surat permohonan kepada Sri Pahang FC berhubung hasrat tersebut secepat mungkin.
Menurutnya, jika diberikan peluang itu, beliau akan memastikan Sri Pahang FC kembali kepada zaman kegemilangan skuad berkenaan.
“Dengan aspek penstukturan gaji yang baik, pengambilan pemain import bermutu tinggi serta bakat bakat-bakat baharu termasuk dari kampung dapat diketengahkan.
“Sri Pahang perlu dana yang besar untuk setanding pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dana perlu dijana setiap bulan serta tahunan bagi memastikan aspek kewangan cukup untuk menampung perbelanjaan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini Tengku Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk mengundur diri semasa ditemu bual stesen penyiaran Astro Arena selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April lalu.
Nama Sri Pahang menjadi tumpuan selepas ura-ura pasukan dari pantai timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazrul Izad berkata, Sri Pahang juga perlu mempunyai stadium sendiri yang canggih dan moden khasnya di bandar baru KotaSAS di Indera Mahkota di sini.
Selain itu beliau berkata, perancangan jangka panjang skuad bola sepak Pahang perlu dilakukan melalui penubuhan Akademi Sri Pahang. – UTUSAN










