BILBAO, Sepanyol: Tottenham Hotspur menamatkan kemarau 17 tahun menjulang trofi selepas jaringan tunggal Brennan Johnson meranapkan impian Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa pagi ini.
Spurs, yang kali terakhir memenangi trofi Eropah pada 1984, akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan manakala kegagalan untuk layak ke kejohanan itu menjadi tamparan besar buat United.
Pun begitu, walaupun menang di Bilbao, masa depan pengurus Ange Postecoglou masih belum pasti selepas kempen domestik yang teruk, dengan Spurs berada satu anak tangga di bawah United di bahagian bawah carta Liga Perdana.
Jurulatih Australia itu menegaskan, beliau bukan badut pada malam sebelum final, dan akhirnya tersenyum puas dalam perlawanan yang mendebarkan di San Mames, sekali gus membuktikan janjinya untuk sentiasa membawa trofi pada musim kedua mengendalikan mana-mana kelab.
“Inilah yang dimaksudkan dengan kejayaan, kelab ini sudah 17 tahun tidak menang trofi, sejujurnya, ini sangat bermakna.
“Sejak saya datang ke sini orang asyik cakap ‘Tottenham pasukan bagus, tapi tak pernah capai kejayaan’ — dan sekarang kami berjaya,” kata pemain sayap Wales, Johnson, kepada TNT Sports.
Peminat datang dari merata tempat memenuhi Stadium Athletic Bilbao, ada yang mengambil laluan yang sangat tidak masuk akal dan tidur dalam kereta untuk mengelakkan harga melambung tinggi, namun mereka tidak dapat mengelak daripada menyaksikan final yang kurang berkualiti.
Ia merupakan perlawanan antara dua pasukan yang masing-masing menghuni tangga ke-16 dan ke-17 selepas kempen Liga Perdana yang suram, dan perlawanan itu mencerminkan realiti itu dimainkan dengan intensiti tinggi tetapi keyakinan rendah, serta pertaruhan hadiah yang terlalu besar hingga membebankan.
Terdapat banyak kehilangan penguasaan bola, tiada pasukan yang benar-benar dapat mengawal perlawanan, gerakan-gerakan yang berakhir dengan pertahanan panik dan bola disepak jauh, atau rentetan kekasaran yang cuai.
Harry Maguire menyekat cubaan Pape Sarr dari Tottenham dengan baik pada awal permainan selepas Johnson berjaya memintas Luke Shaw dan menyerang dari sebelah kanan.
Penyokong United melaungkan nama Ruben Amorim, memberi sokongan kepada jurulatih Portugal itu walaupun mengalami musim Liga Perdana terburuk dalam setengah abad.
Di bahagian lawan, pemain sayap United berusia 22 tahun, Amad Diallo, salah seorang yang masih tinggi keyakinan, melakukan satu rembatan ke arah gol dan kemudian memperdaya Destiny Udogie dalam satu gerakan menarik.
Spurs akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-42 dan secara ironinya, melalui satu gol yang sangat tidak kemas.
Pemain tengah Tottenham, Sarr, yang hanya melengkapkan satu hantaran ketika itu, melakukan hantaran lintang ke tiang dekat kepada Johnson.
Cubaan flick Johnson terkena bahu Shaw, kemudian terkena kasut Johnson semula dan perlahan-lahan melepasi garisan gol walaupun Onana cuba menepis dengan terdesak.
Spurs bertahan pada separuh masa kedua, cuba mempertahankan kelebihan tipis sambil mencari peluang untuk menyerang balas.
Mereka hampir berjaya apabila Yves Bissouma melakukan hantaran kepada Dominic Solanke, namun penyerang itu gagal mengawal bola dan peluang terlepas.
United hampir menyamakan kedudukan apabila penjaga gol Tottenham, Guglielmo Vicario, keluar dari kawasannya tetapi gagal mengutip bola hasil sepakan percuma dari kawasan jauh.
Bola jatuh kepada Rasmus Hojlund, namun tandukannya yang melepasi Vicario diselamatkan secara akrobatik oleh Micky van de Ven.
Dalam pada itu, Amorim berkata, memenangi trofi tidak akan menyelesaikan pelbagai masalah dalaman United, tetapi ia boleh memberi landasan kukuh untuk masa depan malangnya, United pulang dari Bilbao dengan tangan kosong.
Buat pertama kali sejak musim 2014-15, mereka tidak akan bermain dalam kejohanan Eropah musim depan. – AFP/UTUSAN










