PETALING JAYA: Ketika nasib Kedah Darul Aman FC di hujung tanduk, Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mendapat ‘nyawa’ untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila dijangka bertukar tangan kepada pemilik baharu.
Perkembangan terbaharu itu semestinya memberi kelegaan kepada peminat kedua-dua kelab terbabit yang sebelum ini berdepan dengan masalah ketika Liga Malaysia memberi tempoh sehingga 10 Mei sebelum tempoh pendaftaran berakhir.
Di Kuantan, Pengerusi NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad telah menyatakan minat beliau untuk membeli Sri Pahang FC bagi membolehkan skuad Tok Gajah terus beraksi dalam kancah liga bola sepak negara.
Katanya, jika diberikan peluang, beliau mahu memastikan Sri Pahang kembali kepada zaman kegemilangan skuad berkenaan.
“Sri Pahang perlu dana yang besar untuk setanding pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dana perlu dijana setiap bulan serta tahunan bagi memastikan aspek kewangan cukup untuk menampung perbelanjaan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam perkembangan sama, KDN FC turut memiliki harapan besar untuk meneruskan aksi dalam saingan Liga M musim depan selepas urusan pemindahan kepada pemilik baharu dimuktamadkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, perkembangan itu merupakan usaha menyelamatkan pasukan tersebut daripada terkubur. – UTUSAN











