Siapa pilihan akar umbi sayap Wanita PKR?

Siapa pilihan akar umbi sayap Wanita PKR?

PEMILIHAN kali ini berkisar calon yang lebih bersedia membawa sayap Wanita ke tahap yang lebih tinggi, dengan strategi dan struktur yang tahan uji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGGAL beberapa hari menjelang Pemilihan PKR, perhatian umum kini tertumpu arah tuju dan barisan kepimpinan yang akan mengemudi parti reformasi itu bagi penggal mendatang.

Dalam landskap politik yang terus berubah dan semakin mencabar, pemilihan kali ini seharusnya dilihat bukan sekadar proses rutin organisasi tetapi ujian penting terhadap daya tahan, visi dan keupayaan kepimpinan parti dalam menyusun strategi serta keutamaan politik yang relevan dengan tuntutan rakyat hari ini.

Pertembungan antara penyandang jawatan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail memperlihatkan dua gaya kepimpinan, satu bersandarkan kekuatan dasar dan profesionalisme pentadbiran. Satu lagi berpaksikan kekuatan akar umbi dan idealisme reformasi awal.

Jawatan Ketua Wanita bukan sekadar simbolik. Ia merupakan tiang penting dalam struktur parti yang menyumbang kepada pembangunan kader, penggerak jentera pilihan raya serta jambatan antara parti dan masyarakat, khususnya pengundi wanita yang menjadi segmen strategik dalam setiap pilihan raya. Justeru, siapa yang menerajui sayap ini akan memberi kesan langsung terhadap keupayaan mobilisasi parti, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pemilihan antara Fadhlina dan Rodziah membawa dimensi menarik. Fadhlina, seorang menteri dan tokoh teknokrat, membawa pendekatan berteraskan dasar, profesionalisme serta penstrukturan jentera yang sistematik. Sebagai Ketua Wanita sejak 2022, beliau dilihat sebagai tokoh generasi baharu dalam PKR yang sedang berusaha menyuntik pendekatan reformasi secara lebih strategik dan berimpak.

Rodziah pula bukan nama baharu dalam parti. Berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Timbalan Ketua Wanita PKR, beliau menampilkan dirinya sebagai suara akar umbi yang ingin mengembalikan ‘roh asal’ perjuangan wanita dalam parti. Melalui kempen Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK), Rodziah mengetengahkan naratif pengukuhan akar umbi dan kritikan terhadap pendekatan kepimpinan sedia ada yang didakwa kurang mesra aktivisme lapangan.

Namun, perbandingan antara kedua-dua calon bukan sekadar soal pengalaman atau kekuatan komunikasi massa, tetapi menyentuh isu yang lebih asas iaitu keupayaan untuk membina struktur organisasi Wanita yang tahan uji, relevan dan mampu menyumbang kepada agenda nasional parti secara berkesan.

Kempen Fadhlina menonjolkan pendekatan ‘merendah diri tetapi berpolisi tinggi’. Beliau tidak menggunakan retorik tinggi dalam siri jelajahnya, sebaliknya memilih untuk memfokuskan kepada pencapaian, hala tuju dan pelan tindakan. Fadhlina memimpin beberapa dasar yang mendapat perhatian positif, termasuk pengumuman enam inisiatif sempena Hari Guru 2025 di Kuching, Sarawak yang menyentuh aspek kebajikan, pembangunan profesionalisme dan pengurusan digital warga pendidik.

Di peringkat parti, Fadhlina memperkenalkan beberapa inisiatif penting seperti Sekolah Wanita, Dana 30WReps dan Run to Win, bertujuan memperkasakan penyertaan wanita dalam politik. Program-program ini bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi merupakan strategi pembinaan kapasiti dan kepimpinan wanita secara sistematik, seiring dengan dasar 30 peratus penglibatan wanita dalam semua peringkat kepimpinan yang digariskan dalam Dasar Wanita Negara.

Keupayaan Fadhlina membawa isu-isu wanita ke dalam kerangka kebijakan nasional turut menonjolkan kelebihannya sebagai pemimpin yang boleh menjembatani peranan antara parti dan kerajaan. Pendekatannya yang bersifat teknokratik berpaksikan fakta, data juga memberi keyakinan kepada kelompok profesional serta pengundi kelas menengah yang mencari kestabilan dalam dasar dan polisi.

Dalam konteks pengukuhan jentera, program-program bantuan bencana dan inisiatif Bakul Makanan Wanita yang diperkenalkan memperlihatkan bagaimana agenda kebajikan boleh dijadikan alat untuk menguatkan kehadiran parti di lapangan. Strategi ini bukan sekadar meraih sokongan jangka pendek, tetapi membina jaringan sosial dan politik yang lebih lestari, khususnya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan kumpulan rentan yang sangat kritikal untuk didekati.

Sebaliknya, kekuatan utama Rodziah terletak pada pengalaman panjang bersama akar umbi parti dan pendekatan langsung dalam mobilisasi jentera. Namun, dengan landskap politik yang semakin teknikal dan bersaing dalam wacana dasar, kempen yang terlalu bersandar pada retorik perjuangan mungkin berdepan cabaran untuk menarik sokongan segmen baharu yang menilai pemimpin melalui pencapaian dasar dan kecekapan struktur.

Fadhlina konsisten menekankan pemerkasaan wanita bukan sekadar soal kuota, tetapi soal peluang sebenar dalam kepimpinan dan penggubalan dasar. Beliau kerap mengangkat statistik jurang keterlibatan wanita, meskipun mendominasi pengajian tinggi, wanita masih kurang diwakili dalam Parlimen dan Kabinet. Kesedaran ini diterjemah melalui inisiatif kaderisasi yang bukan sahaja memberi ruang, tetapi juga menyediakan latihan dan laluan strategik untuk wanita menyertai politik arus perdana.

Perwakilan Wanita harus mempertimbangkan bukan sahaja sejarah dan semangat perjuangan masa lalu, tetapi juga keperluan mendesak masa hadapan iaitu keupayaan untuk menyusun kepimpinan wanita yang dapat berperanan secara signifikan dalam membentuk naratif nasional, mendesak pemba­haruan dasar yang bersifat progresif serta mengekalkan kredibiliti dalam kalangan rakyat pelbagai latar.

Rodziah membawa semangat reformasi yang tulen, disokong oleh pengalaman akar umbi yang luas dan komitmen yang tidak dapat dinafikan terhadap prinsip perjuangan parti. Dalam suasana politik pasca-kerajaan perpaduan yang memerlukan kebijaksanaan strategik, kefahaman terhadap rangka dasar negara serta keupayaan menjalin sinergi antara parti dan kerajaan, kekuatan seperti yang ditampilkan Fadhlina lebih berupaya memenuhi keperluan tersebut.

Fadhlina mewakili wajah baharu Wanita PKR yang progresif tetapi berakar, profesional dan tetap membumi. Beliau bukan sekadar simbol pembaharuan, tetapi manifestasi kepada keperluan parti untuk menyesuaikan diri dengan zaman yang menuntut kecerdasan dasar, komunikasi strategik dan kepimpinan yang mampu merentasi batasan emosi serta fahaman lama.

Kemampuannya memimpin kementerian penting, membina kerangka dasar yang inklusif dan memperkenalkan inisiatif kaderisasi bersifat jangka panjang memperlihatkan sebuah kepimpinan yang bukan hanya bersifat responsif, tetapi juga transformasional.

Dalam hal ini, Fadhlina tampak membawa visi yang lebih terarah bukan sahaja dalam membina dasar, tetapi dalam menyusun semula struktur dan kapasiti parti untuk menghadapi cabaran akan datang. Gaya kepimpinannya yang tenang, berfakta dan tidak mudah terjebak dalam retorik memberikan nilai tambah tersendiri dalam era politik yang memerlukan lebih banyak rasional, bukannya sekadar sentimen.

Pemilihan kali ini bukan soal siapa lebih vokal atau siapa lebih lama, tetapi siapa yang lebih bersedia membawa sayap Wanita ke tahap lebih tinggi, dengan strategi dan struktur yang tahan uji.

Apa jua keputusannya, pilihan ini akan menentukan bukan hanya nasib sayap Wanita, tetapi juga sejauh mana PKR mampu melahirkan barisan pemimpin yang boleh meyakinkan rakyat bahawa parti ini bukan sahaja mampu melawan, tetapi juga memimpin.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×