Semak struktur gaji biar seiring kos sara hidup

Semak struktur gaji biar seiring kos sara hidup

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini menyaksikan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan dilaksanakan mulai 1 Februari manakala kenaikan gaji penjawat awam bagi fasa kedua akan dilaksanakan hujung tahun ini.

Kenaikan gaji ini dianggap sebagai salah satu perkembangan positif buat Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), DATUK DR. ADNAN MAT dalam usaha memperjuangkan hak pekerja di negara ini.

Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

 


Bagaimana usaha kerajaan dalam membela nasib pekerja terutama warga penjawat awam?
CUEPACS merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kenaikan gaji penjawat awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib pekerja sektor awam.

Namun begitu, CUEPACS berharap fasa kedua pelaksanaan SSPA yang melibatkan penambahbaikan skim perkhidmatan dan laluan kerjaya dapat dirunding dan dimuktamadkan bersama CUEPACS agar tiada golongan pekerja yang tertinggal dalam proses penambahbaikan ini. Harapan kami adalah agar semua penjawat awam, tanpa mengira gred dan jawatan, dapat menikmati laluan kerjaya yang lebih jelas, adil dan progresif.

Adakah kenaikan gaji mencukupi untuk menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini?
CUEPACS mengakui kerajaan mengambil langkah proaktif melalui kenaikan gaji di bawah SSPA untuk membantu meringankan beban penjawat awam.

Namun, kami ingin menasihatkan penjawat awam agar menguruskan kewangan dengan berhemah dan mengelakkan daripada membuat pinjaman berlebihan, supaya manfaat kenaikan gaji dapat dirasai sepenuhnya dan tidak menyebabkan pendapatan boleh guna (take-home pay) kembali kepada paras sebelumnya.

Dalam aspek keselamatan pekerjaan, CUEPACS menyarankan supaya kerajaan memperluaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada semua penjawat awam sebagaimana dinikmati pekerja sektor swasta, bagi memperkukuhkan perlindungan sosial kepada mereka.

Bagaimana usaha-usaha yang dilakukan CUEPACS dalam memperjuangkan hak pekerja setakat ini?
CUEPACS sentiasa aktif memperjuangkan hak pekerja melalui rundingan bersama kerajaan, mengemukakan memorandum, melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta memperjuangkan penambahbaikan skim perkhidmatan, semakan gaji, kebajikan pasca persaraan, keselamatan sosial dan pengukuhan undang-undang buruh. Kami juga giat mendesak agar amalan kerja yang adil dan seimbang diterapkan dalam semua sektor.

Bagaimana dengan perubahan trend dalam pasaran kerja hari ini termasuk peningkatan pekerja kontrak, pekerja separuh masa dan pekerja gig?
CUEPACS berpandangan perubahan trend ini harus ditangani secara bijaksana. Bagi penjawat awam bertaraf kontrak, CUEPACS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penyerapannya ke dalam jawatan tetap bagi menjamin kestabilan kerjaya dan kelangsungan hidup mereka.

Sekiranya kerajaan meneruskan dasar baharu tanpa skim pencen, CUEPACS menekankan agar kakitangan tetap ini tetap menikmati faedah setara seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan perlindungan insurans kerja. Kami percaya kestabilan pekerjaan adalah kunci kepada prestasi perkhidmatan awam yang cemerlang dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Adakah 1 Mei terus menjadi simbol buat golongan pekerja dalam memperjuangkan hak-hak mereka?
Hari Pekerja 1 Mei merupakan simbol penghargaan dan pengiktirafan kepada sumbangan besar semua pekerja, khususnya penjawat awam dalam membangunkan negara.

Bagi CUEPACS, ia juga menjadi titik peringatan penting terhadap perjuangan, pengorbanan dan aspirasi pekerja dalam menuntut hak, keadilan sosial serta memperjuangkan suasana kerja yang lebih baik dan adil.

Adakah sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei masih relevan atau sekadar cuti umum?
1 Mei bukan sekadar hari cuti umum. Ia adalah hari untuk memperingati sejarah perjuangan pekerja di seluruh dunia yang memperjuangkan hak seperti waktu kerja yang munasabah, gaji berpatutan, keselamatan di tempat kerja dan perlindungan sosial.

Sambutan ini menyemarakkan semangat solidariti dalam kalangan pekerja dan menyedarkan kita bahawa hak-hak yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan kolektif yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan.

Apa penambahbaikan yang boleh dibuat dalam meningkatkan kebajikan dan memperkasakan lagi hak pekerja?
Antara penambahbaikan yang perlu diberi perhatian termasuklah penyemakan berkala terhadap struktur gaji agar seiring dengan kos sara hidup, pengukuhan undang-undang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengembangan skim perlindungan sosial, memperkasakan latihan dan pembangunan kerjaya pekerja, serta menggalakkan budaya kerja seimbang antara kehidupan dan kerjaya (work-life balance).

Adakah sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini juga satu peringatan buat semua majikan dalam membela nasib pekerja?
CUEPACS berharap agar Hari Pekerja 1 Mei menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk memperkasa hak dan kebajikan semua pekerja di Malaysia. Kami menyeru pihak kerajaan, majikan dan pekerja untuk terus berganding bahu dalam mencipta suasana pekerjaan yang lebih adil, progresif dan inklusif demi kemakmuran bersama. Kami juga berharap segala usaha dan pengorbanan pekerja dihargai dengan tindakan-tindakan konkrit yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat pekerja di negara ini.

Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini, apakah mesej utama CUEPACS kepada warga penjawat awam, khususnya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka?
Sempena Hari Pekerja ini, CUEPACS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah menunjukkan komitmen, kesetiaan dan dedikasi yang tinggi dalam menjalankan tugas demi rakyat dan negara.

CUEPACS menyeru semua penjawat awam agar terus memperkasakan diri, kekal berintegriti, mengutamakan kecemerlangan serta berusaha mempertahankan hak dan kebajikan secara berhemah dan profesional.

Kami yakin, dengan semangat kebersamaan, penjawat awam akan terus menjadi tulang belakang kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN