Piastri tawan Grand Prix Miami

Piastri tawan Grand Prix Miami

Oscar Piastri (tengah) meraikan kemenangan di Grand Prix Miami, Florida hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI GARDENS: Oscar Piastri meraih kemenangan keempatnya dalam enam perlumbaan apabila menakluk Grand Prix Miami sebentar tadi ketika McLaren menikmati kedudukan satu-dua di podium untuk meneruskan musim dominan mereka.

Piastri menamatkan perlumbaan 4.6 saat di hadapan rakan sepasukannya dari Britain, Lando Norris manakala George Russell dari Mercedes menduduki tempat ketiga tetapi 37.6 saat di belakang.

Kemenangan ini adalah yang ketiga berturut-turut buat Piastri selepas cemerlang di Bahrain dan Arab Saudi.

Max Verstappen, yang bermula di petak utama menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Alex Albon dari Williams di tempat kelima dan pemandu muda berusia 18 tahun dari Itali, Kimi Antonelli dari Mercedes, di tempat keenam.

“Saya cukup sedar untuk mengelak Max di selekoh pertama, dan dari situ saya tahu saya ada kelebihan kelajuan. Kereta sangat luar biasa hari ini. Semasa menggunakan tayar keras saya agak bergelut, jadi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Masih perlu belajar, tapi saya sangat gembira dapat tinggalkan Miami sebagai juara.

“Dua tahun lalu di sini kami adalah pasukan paling perlahan, saya rasa kami kena potong dua kali. Hari ini, kami menang perlumbaan dengan kelebihan 35 saat,” kata Piastri.

Piastri, yang bermula di petak keempat, merampas kedudukan pendahulu pada pusingan ke-14 apabila Verstappen mengambil laluan dalam tetapi lewat membrek dan terbabas ke luar.

Dalam pada itu, perlumbaan hari ini merupakan satu lagi hari yang mengecewakan bagi Ferrari, dengan Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan Lewis Hamilton satu kedudukan di belakangnya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×