LONDON: Manchester United dilapor bakal mendapatkan penyerang antarabangsa Brazil, Matheus Cunha selepas bersetuju untuk melunaskan klausa pelepasan bernilai 62.5 juta pound (RM357.1 juta) dalam kontraknya bersama Wolves, lapor media Britain, semalam.
Langkah pantas itu menjadi permulaan kepada proses rombakan besar-besaran skuad Ruben Amorim selepas mengalami musim terburuk kelab itu sejak kali terakhir mereka tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 51 tahun lalu.
The Red Devils menamatkan saingan liga di tangga ke-15 dan turut tewas kepada Tottenham di final Liga Europa, sekali gus gagal melayakkan diri di kejohanan Eropah musim depan.
Menurut BBC, bayaran Cunha akan dibuat sebanyak tiga kali secara ansuran dalam tempoh dua tahun selepas Wolves menolak cadangan United untuk melunaskan bayaran secara berperingkat selama lima tahun.
Cunha, 26, menjaringkan 17 gol musim lalu dan memainkan peranan penting membantu Wolves keluar daripada zon penyingkiran, dengan mereka menamatkan liga di belakang United hanya menerusi perbezaan jaringan.
Penyerang itu sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan Molineux.
“Saya sudah nyatakan dengan jelas bahawa saya perlu ambil langkah seterusnya. Saya mahu bersaing untuk kejuaraan, untuk sesuatu yang besar. Saya ada potensi,” kata Cunha kepada The Guardian.
Sementara itu, ESPN pula melaporkan United juga bersedia membayar klausa pelepasan bernilai 30 juta pound (RM171 juta) bagi mendapatkan penyerang Ipswich Town, Liam Delap yang turut menjadi buruan Chelsea.
Penyerang skuad bawah 21 tahun England itu menjaringkan 12 gol EPL musim lalu, namun dijangka meninggalkan kelabnya selepas Ipswich turun kembali ke saingan Liga Kejuaraan. – AGENSI/UTUSAN










