Malaysia masih ada pengganti Khairul

Malaysia masih ada pengganti Khairul

Mohamad Khairul Aman Rosdi (kanan) tidak dapat beraksi mewakili Malaysia dalam baki kempen Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 kerana masih dirawat di hospital. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw terpaksa melupakan khidmat Mohamad Khairul Aman Rosdi dalam acara regu berpasukan Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025 selepas perejam muda itu berdepan masalah kesihatan.

Pemain kelahiran Kemaman, Terengganu itu kelmarin terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika Malaysia berdepan Jepun dalam aksi kedua Kumpulan B. 

Ketiadaan pemain itu pastinya membuatkan ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun kembali mencatur strategi menjelang aksi separuh akhir menentang India yang akan berlangsung hari ini.

Sekiranya menang ke atas India, Malaysia dijangka membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Thailand yang akan bertemu Korea Selatan di separuh akhir.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, Khairul Aman tidak dapat bersama-sama berjuang untuk perlawanan seterusnya.

“Saya telah bercakap dengan Khairul Aman, beliau masih di hospital dan tidak dapat beraksi untuk perlawanan seterusnya di Stadium Titiwangsa, Kita doakan agar beliau segera sembuh,” kata Sumali.

Sementara itu kapten skuad negara, Farhan Adam percaya perejam lain mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Khairul Aman.

“Situasi sekarang rasanya memang Khairul Aman tidak dapat diturunkan ataupun bermain. Semua pemain adalah sama dan masing-masing akan berikan yang terbaik sekiranya diberikan tanggungjawab,” kata Farhan.

Malaysia memastikan kemaraan ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Korea Selatan semalam, sekali gus memastikan kemenangan bersih dalam kesemua tiga aksi peringkat kumpulan.

Setakat ini, pasukan negara sudah meraih dua gelaran pada saingan Piala Asia yang julung kali diadakan itu selepas memenangi kuadran menewaskan Jepun 2-0 sebelum membenam Thailand 2-0 dalam acara regu.

Bagaimanapun, tiada rezeki buat pasukan negara dalam acara double apabila tewas 1-2 kepada Thailand di perlawanan akhir.

Tahun lalu, hasrat Malaysia menamatkan kemarau kejuaraan acara regu berpasukan pada saingan Piala Dunia 2024 yang turut berlangsung di Stadium Titiwangsa tidak tertunai apabila tewas 1-2 kepada Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN