KANGAR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disyor menguat kuasa paras gaji siling yang munasabah bagi membendung masalah tunggakan gaji berbangkit pada masa hadapan.
Kelab bola sepak ketika ini hanya dilihat sebagai perniagaan jangka pendek yang tidak membawa keuntungan sehingga akhirnya dibebani hutang, rugi dan tinggal sejarah.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, bola sepak Malaysia masih belum mampu lagi ke arah penswastaan, malah satu demi satu mula menarik diri selepas sudah tidak lagi mampu menampung kos kewangan yang tinggi.
“Tetapkan paras siling gaji yang munasabah kerana apa yang lebih penting kesinambungan jangka panjang sesebuah pasukan itu.
“Apabila gaji terlalu tinggi, kadang-kala tidak sampai beberapa tahun sudah tidak mampu lagi menanggung kos dan akhirnya terkubur. Begitulah situasi yang berlaku ketika ini selepas satu demi satu pasukan menarik diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini First Instance Body (FIB) memaklumkan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC tersingkir daripada 14 pasukan yang akan berentap dalam saingan Liga Super musim 2025/2026 manakala beberapa pasukan lagi diberi amaran keras berhubung kewangan kelab.
Dalam pada itu, Zamri berkata, bagi memeriahkan kembali bola sepak tidak salah untuk menghidupkan semula Liga Semi Pro seperti dahulu yang diuruskan persatuan bola sepak negeri (FA) masing-masing sekali gus membangkitkan kembali semangat penyokong.
“Langkah tersebut bukan bermakna untuk bola sepak berpatah balik ke belakang sebaliknya sebagai salah satu usaha menghidupkan kembali kemeriahan liga bola sepak tempatan,” katanya. – UTUSAN










