“KITA harus berkorban hari ini agar anak-anak kita mendapat masa hadapan yang lebih baik kelak.” – A. P. J. Abdul Kalam
Kebergantungan negara kepada buruh asing adalah di tahap yang membimbangkan kerana turut melibatkan pelbagai komplikasi perundangan lain termasuklah isu perhambaan moden.
Sebagai contoh, dalam minggu lalu Bahagian Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) (D3), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan 45 warga asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen termasuklah penyeludupan pekerja asing.
Dalam operasi yang sama, pasukan polis berjaya menyelamatkan 16 warga asing termasuk tujuh orang kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa hasil serbuan di empat lokasi.
Lima orang kanak-kanak lelaki terdiri empat orang warga Myanmar dan seorang Indonesia berusia 16 sehingga 17 tahun berjaya diselamatkan. Kesemua mereka didapati dipaksa bekerja di sebuah restoran di Rawang.
Ramai yang salah faham kononnya terdapat pengharaman mutlak bagi pengambilan pekerja kanak-kanak.
Sebetulnya, undang-undang di bawah Bab II Akta Kanak-Kanak Dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) membenarkan kanak-kanak yang sudah berusia lebih 13 tahun digajikan bagi kerja-kerja terhad seperti :
• Kerja ringan bersesuaian dengan keupayaan dalam perusahaan keluarganya
• Dalam sektor hiburan awam berdasarkan lesen yang diluluskan
• Pekerjaan yang dilaksanakan di sekolah, dan/atau institut latihan diluluskan kerajaan
• Aturan perantis seperti yang diluluskan
Namun, terdapat had jelas diletakkan ke atas mana-mana majikan yang mengambil seorang kanak-kanak bekerja.
Antara syarat dikenakan adalah majikan dilarang mengambil kanak-kanak bagi perniagaan menjual alkohol atau pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau pengiring sosial.
Selain itu, kanak-kanak tersebut tidak boleh bekerja antara pukul 8 malam hingga 7 pagi dan hari bekerja tidak melebihi enam hari seminggu.
Dalam masa sama, pekerja kanak-kanak hendaklah diberikan rehat sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap tiga jam bekerja. Bagi kanak-kanak yang bersekolah, mereka tidak dibenarkan bekerja melebihi tujuh jam sehari termasuklah waktu persekolahan.
Manakala bagi kanak-kanak yang sudah lebih 15 tahun, yang mana ditakrifkan sebagai ‘orang muda’ di bawah Akta 350, had yang dikenakan seperti di atas dilonggarkan.
Mereka boleh digajikan dalam semua pekerjaan yang dibenarkan untuk pekerja kanak-kanak tanpa mengira perusahaan keluarga atau bukan keluarga.
Selain itu, mereka boleh juga digajikan untuk pekerjaan di pejabat, kedai (termasuk hotel, restoran dan gerai), gudang, kilang, bengkel, stor, rumah penginapan, teater, pawagam atau persatuan.
Orang muda turut boleh menerima pekerjaan dalam industri bersesuaian dengan kapasiti mereka.
Bagi pekerjaan di atas kapal atau dianggap bahaya, mereka hanya dibenarkan bekerja dengan pengawasan ketat di bawah kawalan keluarga, kontrak perantisan atau latihan vokasional.
Kegagalan majikan mematuhi peruntukan dalam Akta 350 bakal mengundang penalti termasuklah pemenjaraan dan denda.
Sebagai contoh, tahun lalu seorang lelaki didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di Pulau Pinang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi waktu kerja yang dibenarkan terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
DUNIA HIBURAN
Bagi mengimbangi keperluan memaparkan watak kanak-kanak dalam sektor hiburan, kerajaan juga menetapkan garis panduan tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat penerbitan sebelum mereka mengambil pelakon kanak-kanak membintangi produksi filem atau drama.
Antara syarat yang dikenakan termasuklah mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda bagi menggajikan pelakon kanak-kanak dan memastikan had masa bekerja mereka di set penggambaran tidak melebihi tempoh dibenarkan.
Malangnya, data dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada tahun lalu menunjukkan lebih 70 peratus syarikat yang terlibat dalam filem dan drama tidak tahu mengenai keperluan mendapatkan lesen sebelum menggajikan pelakon dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda. Manakala hampir 53 peratus syarikat tidak pernah memohon lesen yang ditetapkan.
Data sebegini membimbangkan kerana membuka ruang eksploitasi tidak sihat kepada pelakon kanak-kanak.
Tambahan lagi, bukan sekali dua masyarakat mewacanakan eksploitasi ke atas kanak-kanak untuk pelbagai tujuan termasuklah mengemis, meminta sedekah dan menjaja hingga lewat malam.
Malah, tindakan sebegini sebetulnya merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) tetapi masih menular sehinggakan di kawasan pelancongan utama di serata ibu kota penuh golongan ini yang diperhambakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ada antara mereka yang menggunakan alasan kononnya kanak-kanak ini membantu perusahaan keluarga bagi menjustifikasikan eksploitasi mereka.
Seharusnya kerajaan khususnya di bawah agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Tenaga Kerja bertindak lebih garang dalam memastikan perhambaan moden tidak berterusan dilakukan terhadap kanak-kanak agar masa hadapan mereka dapat dipelihara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










