Hospital swasta cemerlang di dunia tetapi sistem awam masih ketinggalan

Hospital swasta cemerlang di dunia tetapi sistem awam masih ketinggalan

MALAYSIA berpotensi menjadi negara rujukan dalam bidang kesihatan di Asia Tenggara tetapi perlu membangunkan sistem kesihatan awam yang mampan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA menerima satu lagi pengiktirafan antarabangsa apabila dua hospital swasta, Pusat Perubatan Sunway di Sunway City dan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur disenaraikan antara 250 hospital terbaik dunia dalam Laporan Tahunan Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh penerbit antarabangsa, Newsweek.

Pusat Perubatan Sunway berada di kedudukan ke-193 manakala Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di tangga ke-204, sekali gus menempatkan Malaysia sebaris pusat perubatan ternama dunia.

Ini merupakan pencapaian yang membanggakan. Ia menunjukkan hospital swasta negara memiliki kapasiti dan mutu perkhidmatan bertaraf antarabangsa dari segi kemudahan teknologi moden, tenaga kerja profesional, sehingga pengalaman pesakit yang menjadi keutamaan.

Malah, Gleneagles berjaya melonjak daripada kedudukan ke-223 pada tahun lalu, membuktikan komitmen berterusan terhadap peningkatan kualiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, turut menyampaikan penghargaan kepada hospital-hospital ini. Dalam masa sama beliau menyifatkannya sebagai bukti kejayaan sektor penjagaan kesihatan swasta dalam menjadikan Malaysia antara destinasi rawatan pilihan di rantau ini.

Sektor swasta terus berkembang pesat berkat sokongan pelbagai faktor antaranya peningkatan penggunaan insurans perubatan dalam kalangan rakyat, penawaran rawatan yang lebih cepat dan selesa serta pertumbuhan pelancongan perubatan.

Hospital seperti Gleneagles Johor dan Pantai Hospital di Melaka semakin menjadi tumpuan pesakit luar negara, sekali gus menyumbang pertukaran mata wang asing dan memperkukuh ekonomi kesihatan negara.

Namun, di sebalik kejayaan ini, tersingkap satu realiti pahit apabila tiada sebuah pun hospital kerajaan tersenarai dalam 250 hospital terbaik dunia.

Walaupun Hospital Kuala Lumpur (HKL) menduduki tempat keempat dalam senarai hospital terbaik di Malaysia, namun masih belum berjaya mencatatkan nama di pentas global.

Jurang ketara ini membangkitkan persoalan besar, mengapa sistem kesihatan awam masih gagal mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa, sedangkan ia menjadi tulang belakang rawatan untuk jutaan rakyat?

 

REALITI & CABARAN SISTEM KESIHATAN AWAM

Malaysia telah lama berdepan pelbagai isu struktural dan operasi. Antaranya:

• Kesesakan dan masa menunggu yang amat lama. Ramai pesakit terpaksa menunggu berjam-jam, malah berhari-hari untuk rawatan atau kemasukan ke wad. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), lebih 80 peratus hospital awam beroperasi melebihi kapasiti.

• Kekurangan tenaga kerja mahir, termasuk doktor pakar dan jururawat. Ramai memilih untuk berhijrah ke sektor swasta atau luar negara atas faktor gaji lebih tinggi dan keseimbangan kerja-hidup yang lebih baik.

• Beban kerja yang menyebabkan keletihan melampau (burn out) dalam kalangan petugas barisan hadapan. Ini bukan sahaja menjejaskan mutu rawatan, malah meningkatkan risiko kesilapan perubatan.

• Isu dasar dan pengurusan, termasuk kontroversi berkaitan sistem kontrak doktor muda, pelaksanaan syif kerja baharu Waktu Bekerja Berlainan (WBB) tanpa elaun on-call serta kelewatan pengumuman e-penempatan bagi lebih 2,000 pegawai perubatan.

• Masalah bekalan ubat dan ketelusan harga. Krisis kekurangan ubat asas seperti paracetamol dan antibiotik sejak 2022 masih segar dalam ingatan. Langkah kerajaan mewajibkan klinik swasta memaparkan harga ubat pula dilihat membebankan dan tidak praktikal oleh pengamal perubatan swasta.

• Ketinggalan dari segi teknologi dan sistem maklumat. Banyak hospital awam masih belum dilengkapi sistem maklumat pesakit yang moden (Hospital Information System), yang boleh memudahkan pengurusan dan meningkatkan keselamatan pesakit.

Pengiktirafan terhadap hospital swasta adalah bukti kejayaan model pengurusan korporat, pelaburan teknologi dan kepimpinan strategik. Namun, ia juga membuktikan kualiti penjagaan kesihatan tidak mustahil dicapai di Malaysia, asalkan ada kesungguhan, sumber dan tadbir urus yang cekap.

Hakikatnya, hospital swasta hanya mampu menampung sebahagian kecil penduduk khususnya mereka yang berkemampuan atau dilindungi insurans. Sebaliknya, majoriti rakyat masih bergantung kepada sistem awam untuk mendapatkan rawatan, terutama golongan B40, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Maka, pembangunan sistem kesihatan awam bukan sekadar isu kebajikan, tetapi soal keadilan sosial dan keutuhan negara.

Malaysia tidak boleh hanya berbangga dengan prestij hospital swasta di peringkat antarabangsa, jika rakyat terbanyak masih perlu menunggu berbulan untuk rawatan susulan atau terpaksa berkongsi katil di wad.

 

PULIHKAN KEPERCAYAAN

Langkah KKM memperuntukkan perbelanjaan tambahan untuk menaik taraf kemudahan, sistem digital dan pengambilan kakitangan dalam Belanjawan 2025 adalah satu permulaan. Namun, ia perlu diikuti dengan reformasi menyeluruh dari segi dasar sumber manusia, pelaksanaan sistem maklumat moden, hingga kepada peningkatan latihan dan insentif bagi tenaga kerja kesihatan awam.

Kerajaan juga perlu memulihkan semula kepercayaan kakitangan kesihatan, khususnya doktor kontrak serta petugas muda dengan menyediakan laluan kerjaya yang lebih stabil dan insentif yang adil.

Kejayaan sistem kesihatan awam tidak bergantung kepada bangunan moden semata mata, tetapi semangat dan kesejahteraan petugas barisan hadapan.

Kejayaan Pusat Perubatan Sunway dan Gleneagles Kuala Lumpur bukan hanya harus dibanggakan tetapi perlu menjadi peringatan bahawa kita masih belum sampai ke garisan penamat dalam usaha menjadikan penjagaan kesihatan berkualiti sebagai hak untuk semua, bukan hanya keistimewaan segelintir.

Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi negara rujukan dalam bidang kesihatan di Asia Tenggara. Tetapi untuk mencapai impian itu, kita tidak boleh meninggalkan sistem kesihatan awam di belakang.

Masa hadapan kesihatan negara bergantung kepada keupayaan membina sistem yang inklusif, mampan dan adil untuk semua rakyat, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.-UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN