Harimau Malaya sedang diperkuat kenapa nak kritik

Harimau Malaya sedang diperkuat kenapa nak kritik

Peter Cklamovski pada sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. Turut kelihatan pemain Harimau Malaya, Nooa Laine (kiri) dan Arif Haiqal. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski enggan melayan dakwaan negatif segelintir pihak sebaliknya mahu memberi tumpuan meningkatkan kecergasan pemain sebagai persediaan berdepan Kelayakan Piala Asia 2027.

Beliau berkata, fasa pertama kem latihan itu penting kerana para pemain perlu kembali cergas setelah berehat selama empat minggu sebelum ini, selain untuk membina jaringan antara pemain muda dengan pasukan kejurulatihan.

“Dalam senarai pemain dipanggil, kami bawa pemain bawah 23 tahun untuk diberikan pendedahan terbaik sepanjang latihan. Mereka adalah masa depan skuad senior akan datang kerana ada antara mereka bakal berdepan kelayakan bawah 23 Piala Asia September ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai sembilan pemain bawah 23 tahun akan menjalani latihan bersama pemain senior, dengan barisan kejurulatihan turut melibatkan Nafuzi Zain, Hairuddin Omar dan Aidil Zafuan Abd. Radzak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Cklamovski berkata, setiap program dirancang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan tempoh yang panjang dan berperingkat.

“Latihan yang dibuat dengan pemain-pemain dipanggil ini dirancang dengan teliti dan bukan dibuat secara tangkap muat. Jika kita kekal dengan usaha ini pastinya akan mendapat pulangan positif.

“Kem latihan yang dibuat secara tiga fasa ini sebagai persiapan Harimau Malaya menghadapi Vietnam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027,” katanya.

Tindakan memanggil pemain Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil yang tidak tersenarai ketika sesi latihan Mac lalu adalah kerana peningkatan prestasi ditunjukkan kedua-dua pemain ketika beraksi dalam Liga Thailand.

“Bagaimanapun, Tierney dan Muhammad perlu buktikan mereka mampu beri impak dalam skuad kebangsaan, buktikan pengalaman mereka beraksi di luar negara dengan menampilkan persembahan lebih konsisten,” katanya.

Cklamovski turut menyifatkan pandangan bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh tentang program naturalisasi melibatkan skuad Harimau Malaya mengurangkan peluang pemain tempatan sebagai tidak adil.

“Saya hormat sejarah pasukan kebangsaan serta pemain-pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. Tetapi tindakannya mengkritik skuad ini adalah tidak adil, ia dibuat seolah-olah ada agenda tertentu di belakangnya.

“Apabila saya mulakan tugas ini, kita perlu akui ada kelemahan dalam skuad kebangsaan, jadi semua pihak sedang berusaha untuk menambah baik imej dan kemampuan Harimau Malaya, tetapi mengapa ada orang tempatan yang kritik Harimau Malaya sendiri,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×