PETALING JAYA: Di sebalik pencapaian cemerlang Hakim Danish Ramli di pentas Eropah musim ini, pelumba muda negara itu masih bergelut dengan masalah dana termasuk perbelanjaan bagi tiket jemputan ke perlumbaan MotoGP.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, masalah tersebut berlaku sejak awal tahun ini dan dengan penyertaan Hakim Danish pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP bebanan kewangan untuk pelumba terbabit bertambah.
“Kita juga perlu mencari dana tambahan untuk menanggung kos Hakim Danish bagi tiket wild card ke MotoGP tahun ini, saya akan berbincang dengan Dorna (pemegang hak siaran MotoGP), saya rasa yang itu tiada masalah.
“Tetapi untuk persediaan ke wild card itu, kita perlu mencari dana tambahan bagi menanggung kos penyertaan Hakim Danish,” katanya sewaktu menyambut ketibaan pelumba itu dari Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Sejak musim 2025 bermula April lalu, Hakim Danish telahpun membuktikan dirinya merupakan aset berharga Malaysia apabila melakar keputusan podium dalam kesemua perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies dan JuniorGP setakat ini.
Zulfahmi berkata, pihaknya amat menghargai dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetapi komitmen besar pada setiap kejuaraan yang disertai Hakim Danish tidak sepadan dengan peruntukan yang disediakan.
Katanya, Hakim Danish turut menerima penajaan daripada Terengganu Inc, RCB dan beberapa syarikat lain, namun, bagi memastikan pelumba itu kekal kompetitif kerana perbelanjaannya bukan sedikit.
“Saya dan SIC kena terus mencari dana supaya usaha kita tahun ini tidak sia-sia kerana kita pergi untuk menang, kalau setakat menyertai perlumbaan, kita boleh pergi dengan (harga) murah,” katanya. – UTUSAN










