LONDON: Nasib Jack Grealish bersama Manchester City bakal ditentukan penghujung musim ini selepas pemain sayap England itu dilaporkan semakin terpinggir daripada perancangan Pep Guardiola.
Grealish, 29, yang sebelum ini menjadi antara tonggak penting ketika City merangkul kejuaraan treble musim lalu, hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Lebih mengecewakan, bekas pemain Aston Villa itu langsung tidak digunakan ketika The Citizens tewas mengejut 0-1 kepada Crystal Palace dalam final Piala FA di Wembley, Sabtu lalu.
Situasi berkenaan mengundang spekulasi bahawa Grealish bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Etihad pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Menurut Guardiola, keputusan muktamad mengenai masa depan Grealish akan dibuat selepas perbincangan antara pihak pengurusan tertinggi kelab dan ejen pemain itu.
“Kami masih belum duduk berbincang. Perkara seperti ini melibatkan pihak pengurusan dan ejen pemain. Txiki (Begiristain) serta Hugo (Viana) akan tentukan apa yang terbaik untuk kelab dan Jack.
“Apa pun keputusan mereka, kami akan hormati. Tapi Jack perlu kembali menunjukkan keinginan dan bekerja keras untuk dapatkan semula minit permainan,” katanya.
Guardiola turut mengakui pemain itu tidak gembira dengan situasi semasanya, namun menegaskan itu lumrah yang perlu diterima mana-mana pemain profesional.
“Tiada seorang pun pemain yang gembira bila tidak bermain. Mereka datang untuk beraksi, bukan duduk di bangku simpanan,” ujarnya. – AFP/UTUSAN











