SEJAK Khamis lalu operasi haji bagi sektor Mekah sudah bermula. Dianggarkan 15,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di tanah suci dengan kira-kira 8,000 kini sudah masuk ke Mekah.
Bagi jemaah kumpulan pertama ini khususnya, mereka akan berada di Mekah kira-kira 30 hari sebelum wukuf yang dijangka pada 5 Jun. Maknanya, kumpulan jemaah haji yang terus masuk ke Mekah ada banyak masa untuk melakukan ibadat di Masjidilharam.
Kini, tumpuan mestilah kepada membanyakkan amal ibadat terutamanya solat berjemaah lima waktu di Masjidilharam, melakukan umrah, tawaf sunat dan sebagainya. Masa dan kesempatan berada di Mekah usah dipersiakan sementelahan kita menunggu berpuluh tahun baru dapat menunaikan haji.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat yang lain melainkan Masjidilharam. Dan solat di Masjidilharam lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)
Justeru, jangan lepaskan peluang bonus ganjaran solat di Masjidilharam. Ikhtiarkan supaya jemaah haji tidak terlepas satu waktu solat pun di masjid dengan solat di hotel kecuali ada keuzuran. Walaupun ada pendapat ulama bahawa ganjaran 100,000 pahala itu turut meliputi tanah haram keseluruhannya, dengan solat di Masjidilharam, jemaah akan beroleh beberapa ganjaran lain.
AIR ZAMZAM
Telaga zamzam di mana airnya adalah antara yang paling berkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat orang yang meminumnya, insya-Allah. Selain itu, adanya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain. Antara kelebihan air zamzam:
• Air zamzam adalah air terbaik di dunia. Daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah zamzam dan penawar bagi penyakit.” (Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 4077)
• Air zamzam boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. Daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan.”(Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 4077)
• Air zamzam menjadi penawar bagi penyakit. Daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dan penawar bagi penyakit”. (Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 4077)
MEKAH SEBAGAI TANAH HARAM
• Dalam sebuah riwayat Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya negeri Mekah ini dijadikan Allah SWT sebagai tanah haram ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah adalah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Mekah kepada sesiapa pun sebelumku dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah).”
• Tidak dimasuki dajal. Hal ini berdasarkan hadis Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Semua negeri akan dimasuki oleh dajal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik daripadanya.”
• Mendapat keamanan. Ini telah diisytiharkan oleh Allah SWT. Syeikh Al-Maghari berkata, seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah.
• Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun perkara itu tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.
KAABAH
Ia adalah Baitullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Mengenai kelebihannya tidak syaknya lagi berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.” (Ali-Imran: 96)
Selain itu, Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini iaitu 60 rahmat untuk orang tawaf, 40 rahmat untuk yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah.”
Dalam masa sama, jemaah haji dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan. Paling penting banyak minum air zamzam sementelah musim haji kali ini adalah musim panas. Suhu purata adalah antara 40 ke 45 darjah Celsius.
Kerajaan Arab Saudi mengesahkan musim haji 2025 akan menjadi kali terakhir ibadah itu berlangsung dalam cuaca panas terik untuk tempoh 16 tahun akan datang, apabila tarikh haji dijangka beralih ke musim yang lebih sejuk bermula 2026.
Perkara itu diumumkan Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi susulan peredaran kalendar Islam yang berasaskan tahun lunar, menyebabkan tarikh haji berganjak kira-kira 10 hari lebih awal setiap tahun.
Menurut agensi itu, musim haji akan mula berlangsung pada musim bunga dari 2026 hingga 2033, sebelum memasuki musim sejuk dari 2034 hingga 2041.
Musim panas dijangka hanya kembali menyelubungi ibadah haji bermula pada 2042.
Tentang persoalan solat jemaah antara imam dan makmum yang kedudukannya berbeza iaitu imam di masjid dan makmum di hotel atau di rumah, dikongsikan pandangan Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed di dalam Fitrah Islami Online.
Berikut jawapan beliau: Secara ringkas solat berjemaah antara imam dan makmum yang berkedudukan bangunan yang berbeza sebagai contoh imam berada di masjid, manakala makmum di rumahnya yang berdekatan dengan masjid adalah tidak sah menurut mazhab Syafie.
Melainkan jika dengan menepati syarat-syarat tertentu, maka solat berjemaah tersebut dikira sah. Syarat-syarat yang dimaksudkan ialah:
• Makmum mengetahui perpindahan imam.
• Jarak antara akhir bangunan masjid dan makmum tidak melebihi 300 hasta.
• Tiada halangan yang menghalang makmum untuk sampai kepada Imam.
• Tiada halangan untuk makmum melihat imam, atau melihat salah seorang makmum yang boleh melihat imam.
• Jika makmum tidak dapat melihat imam disyaratkan wujud rabitah (penghubung) antara kedua-duanya.
• Ada kemampuan untuk sampai kepada imam tanpa perlu membelakangkan tubuh badan dari arah kiblat (izwirar dan in’itaf). (Rujuk: al-Qawl al-Tam Fi A’kam al-Imam Wa al-Ma’mm & al-Taqrirat al-Sadidat)-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










