BELIA adalah suara masa hadapan. Itulah salah satu daripada rumusan saya ketika memudah cara panel perbincangan belia di Persidangan RCE Global ke-13 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dua tahun lalu. Saat itu begitu bermakna kerana ia merupakan kali pertama saya terlibat dalam perbincangan besar berkaitan belia di peringkat antarabangsa.
Mujurlah ia bukan kali terakhir tetapi permulaan bagi banyak lagi peluang lain. Alhamdulillah, baru-baru ini saya dijemput untuk ke Prague, Republik Czech bagi menghadiri Persidangan Belia Wikimedia 2025 dari 16 hingga 18 Mei, lalu. Walaupun tumpuan kali ini lebih berfokus kepada gerakan Wikimedia, namun sebenarnya memberi penekanan umum terhadap kepentingan pemerkasaan belia.
Tujuan utama persidangan ini bagi mengumpul dan melatih belia dari seluruh dunia agar dapat duduk semeja, berbincang, saling bertukar pendapat dan bekerjasama bagi memperkasakan peranan belia.
Jauh perjalanan, luas pemandangan. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Prague mengambil masa kira-kira 17 jam lamanya, termasuk persinggahan di Dubai selama beberapa jam. Namun begitu, perjalanan yang jauh dan panjang ke negara Eropah Tengah itu membawa makna yang besar dan begitu banyak pengalaman baharu. Lebih-lebih lagi, ini adalah kali pertama saya berpeluang menjejakkan kaki di negara Eropah Tengah ini, walaupun sudah dua kali berkesempatan mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa di benua itu.
Pengalaman berada dalam kalangan masyarakat antarabangsa memberi lebih banyak pengajaran berguna berbanding jika sekadar melihat suasana setempat. Sepanjang lima hari berada di sana, saya berkesempatan bergaul bersama peserta dari seluruh dunia, berkongsi pendapat, pengalaman serta budaya masing-masing.
Tatkala tiba di Prague dan mendaftarkan diri di kaunter khas yang disediakan, enam daripada kami berada di dalam penerbangan yang sama dari Dubai. Kami datang daripada negara yang berbeza. Abdul Rahim dari Ghana, Chlod (Filipina), Gopa (India), Helen (New Zealand) dan Jin (Korea Selatan).
Setelah selesai urusan di lapangan terbang, kami berenam terus bergerak menuju ke hotel. Sebaik sahaja melangkah keluar daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Vacláv Havel itu, kami terus disapa angin yang begitu sejuk. Rupa-rupanya kawasan tersebut sedang dilanda fenomena pergerakan udara sejuk dan lembap dari Timur Laut Eropah, menjadikan suhunya lebih sejuk berbanding biasa.
Sepanjang kami berada di Prague, suhu di ibu kota Republik Czech itu serendah bacaan suhu pada awal April, sedangkan mereka sudah berada di penghujung musim bunga. Malah, adakala suhunya turun ke angka 4 darjah Celcius, terutamanya pada waktu malam.
Walaupun ramai tidak membawa pakaian yang lebih sesuai bagi mengharungi cuaca sesejuk itu, namun kami tetap bersemangat dan bertekad melalui segalanya bersama-sama. Semangat itu sahaja sudah cukup bagi membolehkan kami mengharungi suasana tersebut.
Setelah memulakan persidangan dengan majlis suai kenal, kami menjalani lebih banyak sesi-sesi lain yang lebih serius termasuk perbincangan berkumpulan, bengkel serta perancangan strategik. Atur cara persidangan tersebut sangat padat dengan begitu banyak kegiatan, namun diatur dengan begitu rapi sehingga kami tidak terasa terbeban dengan jadualnya.
Seawal pukul 6.30 pagi, masing-masing mula turun bersarapan sebelum berjalan ke dewan persidangan yang mengambil masa lebih kurang 20 minit. Persidangan bermula dari pukul 9.30 pagi dan berakhir pada malam hari untuk betul-betul memanfaatkan masa. Selepas makan malam, kami akan bersama-sama berjalan pulang ke hotel dan berkumpul di lobi untuk program yang lebih santai bagi mengenali sesama sendiri secara lebih dekat.
Sepanjang persidangan tersebut kami digalakkan untuk membuat rangkaian dan kerjasama rentas perbezaan, terutamanya dengan peserta yang kami baharu kenali. Ini amat penting terutamanya bagi belia yang kadangkala agak malu untuk bergaul dengan mereka yang kurang atau tidak dikenali.
Mujur sekali suasana persidangan begitu kondusif, penuh dengan semangat dan begitu menggalakkan. Dengan penyertaan peserta yang begitu tekad dan berminat dengan usaha yang dijalankan, setiap peserta amat komited mengambil bahagian dalam melaksanakan peranan masing-masing.
Ini juga membolehkan kami untuk mengadakan beberapa siri perbincangan secara terbuka. Kami menggunakan kesempatan ini untuk membincangkan pelbagai isu, mengatur strategi dan rancangan. Walaupun masing-masing mempunyai latar belakang berbeza dan kadangkala mengetengahkan pendapat yang bercanggah, namun kami dapat duduk berbincang secara sihat dan matang dalam mencari idea-idea baharu.
Inilah antara sebab utama kami semua benar-benar dapat menghayati dan sangat menghargai masa yang diperuntukkan sepanjang persidangan ini. Ada dalam kalangan kami menjadi begitu rapat sehingga suasana pada saat perpisahan agak sukar dan ada yang mengalirkan air mata.
Peluang duduk semeja bersama rakan-rakan dari seluruh dunia seperti ini benar-benar mengajar kami tentang erti persahabatan, sifat kekitaan, semangat kerjasama dan sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang masing-masing.
Berbincang juga tidak kosong, kerana kami sentiasa merangkumkannya dengan apa yang ingin dan boleh kami lakukan dalam tindakan seterusnya, sama ada dalam perancangan jangka pendek mahupun panjang. Walaupun dalam perbincangan yang lebih santai, kami tetap serius memikirkan tentang kenyataan usaha yang sedang dijalankan serta langkah strategi yang wajar diambil.

BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN
Salah satu rumusan perbincangan yang amat penting ialah tentang realiti pemerkasaan belia. Walaupun anak muda ingin memimpin dan mendahului langkah, jangan kita lupa semangat tersebut masih perlu diiringi pengalaman. Di situlah pentingnya bagi kita sebagai orang muda untuk bekerjasama dan belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dan lebih awal merasa asam garam kehidupan.
Bagi kami, inilah pemerkasaan belia yang sebenarnya. Ia bukan sekadar lantang bersuara, tetapi bersikap bijaksana serta matang bertindak untuk mendayakan generasi seterusnya.
Pemerkasaan belia tidak harus menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan semata-mata, tetapi harus dinyatakan dengan tindakan berlandaskan kenyataan.
Walaupun kami semua sudah pun pulang ke negara masing-masing dan kembali kepada tugasan harian, namun pengalaman dan kenangan sepanjang persidangan ini tidak akan dilupakan.
Kami pulang dengan tekad untuk memanfaatkan segala yang dipelajari sepanjang persidangan ini bagi memperkasakan masyarakat setempat.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










