Vitor perkuat Harimau Malaya?  

Vitor perkuat Harimau Malaya?  

Rafael Vitor Santos (kiri) dalam proses mendapatkan dokumen sah sebagai pemain naturalisasi. - UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain pertahanan import Penang FC, Rafael Vitor Santos dilaporkan dalam proses mendapatkan kad pengenalan Malaysia, sekali gus membuka peluang besar untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

Vitor, yang kini berusia 32 tahun, telah bermastautin di Malaysia selama lima tahun dan aktif dalam saingan Liga Super. 

Langkah naturalisasi pemain Brazil ini disambut positif, terutama setelah sokongan padu yang diterima daripada rakan senegaranya, Endrick dos Santos dan Paulo Josue, yang masing-masing sudahpun menyarung jersi Harimau Malaya.

Ketika ditemui media, Vitor berkata, dia bersedia memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang untuk memperkuatkan barisan pertahanan Harimau Malaya.

“Saya bercakap dengan Paulo (Josue) dan Endrick (dos Santos), mereka banyak membantu saya. Jika diberi peluang untuk bermain bersama pasukan kebangsaan, saya akan berusaha sebaik mungkin demi Malaysia,” katanya.

Vitor juga memaklumkan bahawa proses untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia dijangka selesai dalam tempoh dua minggu atau lebih.

“Dalam proses, mungkin dua minggu atau lebih lagi. Saya sudah lima tahun, saya dapat sokongan Penang, keluarga saya juga gembira di Penang,” jelas Vitor kepada pemberita.

Sebagai rekod, Vitor mula beraksi di Malaysia pada Januari 2020 dengan menyertai Penang FC dan kekal bersama pasukan tersebut hingga kini. 

Dengan proses naturalisasi yang sedang berjalan lancar, kehadirannya dalam skuad kebangsaan diharap dapat memperkukuhkan lagi benteng pertahanan Malaysia, yang dijangka akan diisi oleh seorang lagi pemain warisan baharu, Jon Irazabal.

Sekiranya berjaya, Vitor akan menjadi pemain naturalisasi ketiga dari Brazil yang menyertai skuad Harimau Malaya, mengukuhkan lagi barisan pemain yang bakal mewakili negara di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN