Tempoh kritikal Kedah FC, Kelantan Darul Naim FC 

Tempoh kritikal Kedah FC, Kelantan Darul Naim FC 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji perlu segera melangsaikan segala masalah bagi melayakkan mereka melengkapkan proses Pelesenan Kebangsaan.

Kegagalan mana-mana pasukan berbuat demikian berisiko menyebabkan mereka akan kehilangan tempat untuk beraksi dalam kancah Liga Super pada musim depan.

Untuk rekod, permohonan lesen kebangsaan akan berakhir pada 30 April ini dan bagi kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Kelantan Darul Naim (KDN) FC, tempoh dua minggu ini sangat kritikal bagi mereka.

Malah, usaha mereka menyelesaikan isu berkenaan dilihat agak sukar sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pasukan terbabit berjaya menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd sebelum ini mengesahkan status jumlah penyertaan kelab dalam saingan Liga Super musim depan hanya akan diketahui selepas 30 April ini.

Beliau masih meletakkan harapan 13 pasukan Liga Super sedia ada mampu kekal untuk harungi saingan musim baru serta komited untuk melengkapkan segala terma dan syarat yang telah diterapkan badan pengelola Liga Malaysia itu.

“Pelesenan Kebangsaan akan berakhir pada 30 April ini. Jadi, sebarang perkara membabitkan struktur (liga) hanya akan diketahui selepas 30 April depan dan selepas FIB (badan bebas, First Instance Body) bermesyuarat dan memutuskan kelab mana yang berjaya lulus untuk bermain musim depan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang memaklumkan setiap pasukan yang bermasalah dan menghadapi tunggakan gaji perlu menyelesaikan sekurang-kurangnya RM3 juta hingga RM7 juta jika mahu terus beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Situasi terbabit dinyatakan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang melihat pasukan seperti KDA FC, KDN FC dan beberapa pasukan lain perlu menyelesaikan hutang terbabit sebelum memperoleh lesen kebangsaan kelak.

Beliau berkata, hutang berkenaan yang sudah ditanggung sejak awal musim ini dilihat masih lagi menghantui pasukan terbabit sekali gus boleh menimbulkan persoalan sekiranya mereka masih lagi dibenarkan untuk terus bersaing dalam Liga Super. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN