TIADA hari tanpa serangan Israel di Palestin terutama di Gaza. Dalam umat Islam seluruh dunia bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri, Israel terus menerus membedil dan melancarkan serangan udara ke atas penduduk Palestin di Gaza dan Rafah.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir 70 peratus kawasan di Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan paksa yang dikeluarkan oleh Israel atau dalam zon larangan.
Ia menyebabkan penduduk Palestin di Gaza tidak mempunyai tempat selamat untuk berlindung dan kekurangan keperluan asas untuk terus hidup.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 51,000 rakyat Palestin mati manakala 116,343 lagi cedera akibat serangan kejam Israel terhadap negara itu sejak 7 Oktober 2023.
Serangan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Israel tanpa mengira sasaran baik bayi, kanak-kanak, wanita mahu pun orang tua. Tindakan genosid yang dilakukan sewenang-wenangnya. Dan dunia gagal menghentikan serangan itu akibat sokongan kuat negara sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Baru-baru ini, AS di bawah Presiden Donald Trump mengumumkan tarif tindak balas kepada negara-negara dagangannya. Semua negara yang berdagang dengan AS, kecuali Mexico dan Kanada yang mengadakan perjanjian perdagangan bebas Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA) telah dikenakan tarif baharu.
Yang perlu kita ketahui, pengumuman itu sudah lama menjadi misi utama kepimpinan Trump sejak pelantikan kali pertamanya sebagai presiden pada 2017. Trump mahu mengurangkan defisit perdagangan dengan negara-negara dagangannya yang semakin melebar.
Defisit perdagangan bermaksud jumlah nilai import yang lebih besar berbanding jumlah eksport. Lebihan pula apabila jumlah eksport melebihi import. Kerana itu, dengan menaikkan tarif kepada barangan import lain bakal mengurangkan jumlah import kepada AS, seterusnya mengurangkan defisit perdagangan. Itulah hasrat Trump.
Malaysia juga tidak terkecuali melalui pengumuman 24 peratus tarif tindak balas yang diuar-uarkan melalui sidang ucapannya di Rumah putih pada 2 April lalu.
Presiden China, Xi Jinping yang baru kembali selepas melawat Malaysia semalam memberi amaran polisi kerajaan yang menyekat perdagangan antarabangsa bagi membantu industri domestik tidak akan membawa kemajuan, selain ‘tiada pemenang’ dalam mana-mana perang perdagangan.
Tetapi begitulah ‘gilanya’ Trump, pemimpin negara Uncle Sam itu dalam merealisasikan hasratnya tanpa mengambil kira nasib negara-negara lain termasuk negara kecil seperti Malaysia.
Itu satu hal. Tetapi yang tersirat di sebalik yang tersurat, pengumuman tarif itu menyebabkan tumpuan dunia kita dialihkan daripada isu kekejaman Israel di Palestin kepada isu perang perdagangan.
Ini menyebabkan perhatian masyarakat dunia beralih daripada memikirkan kesengsaran dan keperitan hidup rakyat Palestin yang ditindas sejak tahun 1948. Ia semakin memuncak dan amat kritikal sejak 18 bulan lalu.
Realitinya walau langsung tiada berita (news blackout) tentang serangan di Gaza, rakyat Palestin terus menderita. Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan dunia. Kebuluran semakin kronik, yang cedera semakin parah dan tanpa bekalan ubat-ubatan, pesakit hanya menunggu masa kematian.
Israel, yang terus melancarkan operasi di Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, menyambung semula serangan pada Mac lalu selepas gencatan senjata dua bulan runtuh akibat perbezaan pandangan mengenai fasa seterusnya.
Pada 15 April lalu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ‘sangat bimbang’ dengan serangan Israel terhadap Hospital Arab Al-Ahli di Semenanjung Gaza, Ahad lalu.
Guterres menyatakan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mereka yang cedera dan sakit, petugas kesihatan serta kemudahan perubatan termasuk hospital, mesti dihormati dan dilindungi.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas gelombang serangan udara Israel di Gaza mengenai hospital berkenaan dan beberapa lokasi lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk kanak-kanak, menurut laporan media.
Namun, siapa yang mampu mengheret Israel ke muka pengadilan selagi kuasa besar seperti AS terus bersekongkol dan menyokong segala tindak-tanduk negara Israel itu.
FATWA
Minggu lalu, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (IUMS) mengeluarkan fatwa berhubung kesinambungan serangan ke atas Gaza dan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim penjajah Israel.
Antara isi penting fatwa tersebut adalah kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.
Fatwa itu menekankan kewajiban umat Islam di seluruh dunia untuk berjhad menyokong perjuangan rakyat Palestin dari segi ketenteraan, kewangan, politik dan undang-undang.
Ia juga menekankan kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan. Seterusnya mempertahankan rakyat Palestin dan kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.
Fatwa itu turut mengharamkan tindakan membekal minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin serta sebarang jalinan normalisasi dengan Israel.
Untuk itu, sebagai usaha membantu saudara seagama di Palestin, sekurang-kurangnya kita perlu menghulurkan bantuan harta benda dan wang ringgit melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dipercayai. Ini kerana keterbatasan kita untuk membantu secara terus iaitu berjihad mengangkat senjata bertempur melawan rejim Israel.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbandingan orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati, mereka adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit maka bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan demam selesema.” (Riwayat Bukhari)
Orang yang bersifat kasih adalah mereka yang mempunyai rasa kasih dan belas terhadap makhluk Allah di dalam hatinya terutama sesama Muslim. Ia sebagaimana sifat sahabat Nabi SAW yang digambarkan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).” (al-Fath: 29)
Rasulullah juga menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam masa sama, jangan kita berhenti mendoakan saudara kita di Palestin. Amalkan doa qunut nazilah, semoga Allah kurniakan bantuan dan menghancurkan Israel.
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.