ISU pencemaran, pengurusan bahan berasaskan plastik serta kesan pencemarannya kepada alam sekitar dan hidupan marin sudah banyak dibincangkan di peringkat tempatan mahupun global.
Perhatian terhadap pencemaran plastik di lautan secara serius bermula sejak 1990-an lagi terutama apabila terdapat kesan ke atas hidupan laut akibat daripada penghasilan dan penggunaan plastik secara meluas.
Penghasilan plastik secara mendadak pada 1950-an, terus meningkat pada tahun 1970-an hingga 1990-an, sehingga penyelidik mula mendapati sampah plastik memberikan kesan serius kepada persekitaran marin.
Pada 2014 banyak kajian berkaitan pencemaran plastik di lautan diterbitkan. Sehingga kini dianggarkan penghasilan sisa plastik dunia sebanyak 400 juta tan setahun.
Berikutan dengan perbincangan secara saintifik berkaitan pencemaran plastik dan kesannya kepada alam sekitar, hidupan liar dan manusia, pelbagai pihak daripada ahli sains, industri, aktivis alam sekitar, ahli politik dan lain-lain, masing-masing mengambil inisiatif dalam pelbagai bentuk mengikut kepakaran dan kedudukan.
Pelbagai tindakan dari segi kempen penggunaan plastik, inovasi penggunaan plastik dalam aktiviti harian, kajian berkaitan bioplastik, pengurusan pencemaran plastik dan undang-undang berkaitan pencemaran plastik ditengahkan.
Di peringkat antarabangsa, kempen pengakhiran pencemaran plastik di lautan dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-bagsa Bersatu (PBB), dengan menggerakkan seluruh dunia bekerjasama menguruskan pencemaran plastik secara cekap melalui tindakan awam dan undang-undang.
Menghalang pencemaran plastik daripada masuk ke dalam ekosistem lautan sangat penting kerana kajian sudah jelas menunjukkan plastik memberikan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada hidupan marin yang boleh mengganggu kestabilan populasi haiwan seperti penyu, ikan paus, burung laut dan lain-lain.
Kesan kepada populasi haiwan marin ini bukan sahaja memberikan kesan kepada alam semula jadi, perubahan iklim dan kepelbagaian biologi, tetapi juga ekonomi dan kesihatan manusia.
Malaysia turut mengambil tindakan cepat melalui undang-undang dan polisi serta tindakan pengurusan yang baik melalui pengutipan sampah domestik, kempen kesedaran awam, penggalakan aktiviti kitar semula dan pengurusan tapak pelupusan sampah. Namun, usaha ini masih belum berjaya sepenuhnya disebabkan oleh beberapa faktor seperti kesedaran awam, perubahan amalan dan gaya hidup, teknologi pembungkusan serta perkhidmatan yang menyokong kempen pengurangan plastik terutamanya plastik sekali guna selain kempen kitar semula yang cekap.
Penilaian ke atas Dasar Plan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 perlu dibuat segera. Sejauh mana dasar itu berjaya dilaksanakan di pelbagai peringkat mesti dikaji dan diperkasakan.
Usaha terbaharu ialah menyelesaikan masalah pencemaran plastik di peringkat sumber. Seluruh dunia perlu mengenal pasti sumber pencemaran plastik ke alam sekitar di peringkat bekalan seperti pembungkusan barangan, pengangkutan dan pengguna.
Usaha ini memerlukan banyak kajian saintifik, sokongan perkhidmatan yang baik dan kesedaran awam dalam menguruskan bahan pencemaran berasaskan plastik.
ASEAN
Oleh kerana negara ASEAN adalah negara maritim dan kaya dengan hidupan laut termasuk penyu, ikan paus, dugong, burung-burung laut dan ekosistem batu karang serta sumber perikanan yang banyak, maka sewajarnyalah menyatakan kesepakatan dalam pengurusan sisa pepejal plastik daripada masuk ke laut.
Negara ASEAN banyak menyumbang kepada pencemaran plastik ke lautan. Laut Andaman, Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Celebes dan lain-lain selat penting termasuk Lautan Hindi dan Pasifik adalah antara habitat penting hidupan laut yang boleh dicemari oleh plastik.
Kawasan ASEAN menghadapi krisis pencemaran plastik yang serius dengan lebih 30 juta tan sisa plastik dihasilkan setiap tahun oleh enam daripada 10 negara yang boleh memberikan kesan signifikan kepada alam sekeliling dan kesihatan.
Justeru itu, negara ASEAN mesti mengambil langkah berkesan menangani isu pencemaran plastik melalui tindakan kerjasama serantau. Lebih daripada 80 peratus sampah di lautan adalah plastik. Sampah plastik akan pecah kepada cebisan kecil plastik mikro yang boleh mencemari ikan dan akhirnya masuk ke dalam sistem badan manusia melalui makanan.
Selain daripada pencemaran plastik domestik, negara ASEAN juga mengimpot plastik daripada Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Eropah. Lebih 75 peratus bahan plastik sekali guna tidak dikitar semula sebagai sumber ekonomi tetapi memudaratkan ekosistem marin yang akhirnya menyebabkan risiko kesihatan dan ekonomi kepada manusia.
Pada 2021, ASEAN sudah pun memberikan perhatian kepada pelan tindakan serantau memerangi sampah marin termasuk mengurangkan penghasilan dan penggunaan bahan plastik, meningkatkan pengutipan dan kitar semula barang plastik serta mempromosikan guna semula.
Deklarasi Bangkok 2019 berkaitan memerangi sampah marin di kawasan ASEAN bersetuju bekerjasama melindungi kawasan pantai, laut dan sumber ekonomi daripada pencemaran plastik.
Sempena Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 ini perbincangan 2019 perlu diperkasakan dengan lebih sistematik terutamanya dalam era pasca Covid-19.
Penilaian pencapaian Plan Tindakan ASEAN dalam memerangi sampah marin 2021-2025 perlu dibuat secara sistematik terutamanya dalam hal pencemaran plastik di rantau ASEAN.
Aktiviti perdagangan dalam produk plastik dan sisa plastik memburukkan lagi ancaman pencemaran plastik di lautan serantau. Tekanan penggunaan plastik sekali guna dan perlindungan semasa ancaman Covid-19 menambah pencemaran plastik di persekitaran.
Lautan dan pantai negara ASEAN sangat penting dalam kehidupan manusia, dan pencemaran plastik memberikan kesan kepada kesihatan manusia, hidupan laut, ekonomi perikanan dan pelancongan.
Kerjasama ASEAN perlu diperkasakan dalam polisi dan perancangan; penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat; kemudahan dan teknologi pelupusan sisa plastik; pendidikan dan kesedaran awam serta pennglibatan pihak swasta.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).