PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito menyifatkan musim 2024/25 sebagai satu pencapaian yang baik buat pasukan kendaliannya, namun menegaskan bahawa perjuangan mereka masih jauh.
Katanya, walaupun musim ini dilihat mencabar terutama dalam menguruskan perlawanan kompetitif dan kestabilan pasukan, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan barisan pemain, termasuk pemain tempatan dan antarabangsa.
“Sebelum saya terima tawaran Selangor, saya sendiri tidak pernah periksa kelab ini secara mendalam. Namun, selepas ditawarkan, saya kaji betul-betul dan saya nampak potensi besar dalam pasukan ini,” katanya.
Jurulatih dari Jepun itu menjelaskan, beliau sudah mula merangka perancangan untuk musim 2026, namun enggan mengulas lanjut selagi pengumuman rasmi belum dibuat.
“Saya ada perancangan, tetapi kita tunggu pengumuman rasmi. Apa yang pasti, kita mahu jadi lebih baik dari musim ini,” ujarnya.
Katsuhito juga mengakui cabaran utama bukan sekadar memilih pemain terbaik, malah mewujudkan kesatuan dalam pasukan antara pemain, barisan kejurulatihan dan juga penyokong.
“Yang paling penting adalah kesatuan sebagai satu pasukan. Bukan sahaja jurulatih dan pemain, tetapi juga seluruh warga kerja dan penyokong. Hanya dengan semangat bersatu, kita boleh capai lebih banyak kejayaan,” katanya.
Mengulas masa depannya bersama Selangor FC, Katsuhito berkata, beliau terbuka untuk meneruskan khidmatnya sekiranya diberikan kepercayaan, sambil menzahirkan penghargaan kepada pengurusan kelab kerana memberi peluang pertama buatnya sebagai ketua jurulatih profesional.
“Saya sangat berterima kasih kepada Selangor FC kerana memberi saya peluang. Tekanan memang ada, tetapi saya suka cabaran. Jika mereka tawarkan saya sambung, saya tiada sebab untuk menolaknya,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan penyerang sensasi negara, Faisal Halim, Katsuhito mengesahkan pemain itu dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Dia seorang yang kuat. Cuma ada sedikit masalah kesihatan, tetapi tidak serius. Jangan risau, dia akan kembali,” katanya.
Selangor FC menamatkan musim 2024/25 di tangga kedua Liga Super dan dijangka membuat beberapa perubahan menjelang musim akan datang. – UTUSAN











